Anwar Ibrahim Meminta Maaf Kerana Gagal Kawal Pengkhianat PKR | Malaysia Top News
May 27, 2020

Anwar Ibrahim Meminta Maaf Kerana Gagal Kawal Pengkhianat PKR

Kuala Lumpur, MTN – Anwar Ibrahim malam tadi meminta maaf secara terbuka kerana gagal mengawal beberapa bekas pemimpin PKR yang berpaling tadah daripada parti itu sehingga membawa kepada tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Berkata demikian dalam ucapannya, presiden PKR itu dipercayai membuat kenyataan tersebut semasa menghadiri sebuah majlis PH di di Pusat Konvensyen Sime Darby Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

Petikan ucapan tersebut dimuat naik di akaun Facebook Anwar hari ini.

“(Kalau) dalam PKR, saya minta maaf. Kalau ikutkan (memang) kelemahan saya, tak dapat kawal.

“Saya minta maaf kepada saudara-saudara,” katanya.

Pada 24 Feb, Azmin Ali yang ketika itu menyandang jawatan sebagai timbalan presiden PKR mengetuai 11 anggota parlimen meninggalkan parti itu dan menjadi wakil rakyat bebas.

Bagaimanapun untuk rekod, sebelum membuat pengumuman berkenaan Azmin bersama penyokong kuatnya – Zuraida Kamaruddin (Ampang) sudah terlebih dulu dipecat daripada PKR.

Langkah tersebut kemudian disusuli pengumuman Muhyiddin Yassin membawa Bersatu keluar daripada PH. Bagaimanapun, pengerusi parti itu Dr Mahathir Mohamad tidak merestui langkah Muhyiddin.

Biarkan yang melompat

Perkembangan itu membawa kepada berakhirnya pentadbiran PH yang baru berusia 20 bulan. Muhyiddin bersama Azmin kemudian berpakat dengan Umno dan PAS untuk menubuhkan kerajaan baru dikenali sebagai Perikatan Nasional.

Muhyiddin mengangkat sumpat sebagai perdana menteri kelapan menggantikan Mahathir pada 1 Mac lalu.

Semalam, Muhyiddin melantik Azmin sebagai salah seorang menteri kanan dan ditempatkan di portfolio Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Menurut Anwar apa yang berlaku dalam PKR bukanlah tentang pertembungan peribadi di antara beliau dengan Azmin.

Katanya, tindakan Azmin dan penyokongnya dibuat dengan teliti tanpa dapat dihidu.

“Elemen pengkhianatan dilakukan di belakang kita. (Mereka) senyum kepada kita, setuju dengan kita. (Kemudian) tikam dari belakang,” kata Anwar.

Namun kata Anwar tindakan tersebut tidak akan membuat PKR mengalah.

“(Perlu) mempunyai keberanian untuk pulihkan semangat. Biar yang melompat itu, lompat,” tambahnya.[mk]

Share on:
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •