Anwar Boleh Terima Hakikat Tak Akan Jadi PM | Malaysia News

Anwar Boleh Terima Hakikat Tak Akan Jadi PM

Anwar Boleh Terima Hakikat Tak Akan Jadi PM

Kuala Lumpur, MTN – Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata sedia untuk menerima hakikat yang beliau tidak akan menjadi perdana menteri, menurut wawancara dengan media Australia The Age dan Sydney Morning Herald.

“Ditanya berkenaan minggu luar biasa pada Februari lalu yang menyaksikan harapannya untuk menjadi perdana menteri terpadam sekali lagi, Anwar bertegas bahawa beliau boleh menerima hakikat tidak akan menjadi perdana menteri,” kata laporan itu.

“Minggu luar biasa” itu merujuk kepada “langkah Sheraton” yang menyaksikan beberapa pergerakan politik akhirnya membawa kepada tumbangnya kerajaan PH.

“Pastinya lebih munasabah untuk berada dalam kerajaan, untuk mampu memberi kesan terhadap perubahan dasar dan reformasi sebenar untuk negara, tetapi ia tidak seharusnya dibuat dengan harga tertentu.

“Kita patut melakukan apa saja yang wajar, tetapi pastinya bukan sehingga mengorbankan prinsip,” katanya seperti dipetik.

Pada akhir Februari lalu, kerajaan PH tumbang setelah Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin membawa keluar parti itu daripada PH dan bekerjasama dengan sejumlah anggota Parlimen PKR yang diketuai Azmin Ali.

Bersama-sama Umno, PAS, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan beberapa parti kecil lain, mereka menubuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Bagaimanapun langkah itu juga membawa kepada pergeseran antara Muhyiddin dan Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad yang menentang tindakan itu.

Dalam wawancara tersebut, Anwar mempertahankan cara kerajaan mengendalikan wabak Covid-19 tetapi berkata penelitian perlu dibuat terhadap pakej rangsangan berjumlah RM25 bilion bagi menghadapi kemerosotan ekonomi akibat pandemik itu.

Pada masa ini kurang ketelusan berkenaan pakej itu, katanya lagi, dan membangkitkan sidang Dewan Rakyat pada 18 Mei ini yang akan hanya dijalankan selama sehari.

“Memandangkan kerajaan lemah, gabungan ini, mereka kurang keabsahan, dan pastinya sangat tidak yakin dan justeru itu tidak sanggup mengadakan sidang secara betul – dan mereka menggunakan Covid-19 sebagai alasan,” katanya.

PH memiliki 92 anggota Parlimen, sementara Warisan dan Upko 10 anggota Parlimen. Parti Sarawak Bersatu yang menyokong PH pula memiliki seorang anggota Parlimen.

Ia menjadikan jumlah anggota Parlimen yang menyokong PH di Dewan Rakyat kepada 103 orang.

Pada masa sama, Mahathir sebelum ini menyatakan hasrat untuk kembali mengawal Bersatu, dan membawa parti itu kembali kepada PH.

Bagaimanapun majoriti 36 anggota Parlimen Bersatu menyokong Muhyiddin. Termasuk dirinya, Mahathir memiliki sekurang-kurangnya sokongan lima anggota Parlimen.

Ia menjadikan jumlah anggota Parlimen di blok pembangkang kepada 108 orang, kurang empat untuk mendapat majoriti.

Pada masa ini belum jelas sama ada Mahathir mampu meraih lebih sokongan untuk menambah bilangan itu.[mk]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply