APMM dan JCG Ambil Langkah Kendalikan Minyak yang Tertumpah
APMM dan JCG Ambil Langkah Kendalikan Minyak yang Tertumpah
Pelabuhan Klang, MTN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Pengawal Pantai Jepun (JCG) hari ini menjalin kerjasama dalam menangani insiden tumpahan minyak di laut menerusi Bengkel Tumpahan Minyak.
Bengkel selama lima hari sehingga Sabtu ini diadakan di Pusat Hidrografi Nasional (PHN) di sini melibatkan 100 pegawai dan anggota pelbagai pangkat daripada kedua-dua agensi berkenaan selain Polis Diraja Malaysia, Jabatan Alam Sekitar dan Agensi Pengurusan Bencana Negara.
Timbalan Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim, Laksamana Pertama Maritim, Nurul Hizam Zakaria berkata bengkel tersebut dianjurkan dengan objektif untuk memastikan tahap kesiapsiagaan APMM terutamanya dalam menangani insiden tumpahan minyak berada pada tahap paling baik.
“Program bersama JCG ini dilihat dapat meningkatkan keupayaan anggota serta mengoptimumkan penggunaan peralatan dalam mengendalikan insiden tumpahan minyak di perairan negara.
“Latihan seperti ini juga dapat menguji kemampuan sebenar APMM dalam memberi bantuan awal ketika berlaku tumpahan minyak dan memberi latihan dalam mengumpul dan mencari bukti forensik untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada pemberita selepas menyambut ketibaan kapal JCG, Echigo PLH 08 di PHN di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Keselamatan dan Carilamat JCG, Laksamana Madya Suzuki Shiro.
Mengikut statistik yang dikeluarkan APMM, sebanyak 36 kes tumpahan minyak direkodkan di perairan negara sepanjang tahun lepas dengan 20 kes berlaku di Laut Cina Selatan, tiga kes di Laut Sulu, 10 kes di Selat Melaka dan tiga kes di Selat Johor.[bernama]
Author Profile
Latest entries
- CoronaVirus_Covid-19August 13, 2021Kerajaan Stabil Perlu Ditubuhkan Tangani Masalah Ekonomi Akibat Covid-19
- CoronaVirus_Covid-19August 13, 2021Malaysia Parah, DSAI: Mana Jaminan Kerajaan Bahawa Keadaan Bertambah Baik
- NationalAugust 5, 2021Mahiaddin Kelirukan Agong, Penderhakaan Tertinggi yang Tidak Patut Dimaafkan
- NationalJuly 26, 2021Kadir Jasin: Mahiaddin Sepatutnya Meletak Jawatan