Awas Muhyiddin, Sesuatu yang Bahaya dalam Perjalanan
Awas Muhyiddin, Sesuatu yang Bahaya dalam Perjalanan
Kuala Lumpur, MTN – Pengumuman Muafakat Nasional untuk menyokong Muhyiddin sebagai calon perdana menteri pada PRU15 telah menghantar satu gelombang kejutan kepada kumpulan pengamat politik tanah air.
Sudah tentu, berita tersebut disambut dengan rentetan kenyataan yang bertentangan untuk meredakan kembali rasa tidak puas hati di peringkat akar umbi.
Pemimpin veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah antara yang terawal lantang bersuara. Retak yang bermula halus kini makin jelas selepas Setiausaha Agung BN Annuar Musa pula mengumumkan kerusi-kerusi tradisi Umno akan terus kekal dipertahankan oleh parti itu.
Muhyiddin sebenarnya telah lama mengumumkan kepada Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu yang beliau telah dijanjikan dengan komitmen oleh Umno dan PAS sebagai calon perdana menteri untuk PRU akan datang. Alasannya, beliau memiliki rating sokongan yang tinggi dari rakyat, selain Umno dan PAS dikatakan tidak mempunyai calon yang berkaliber untuk diketengahkan.
Ini sebenarnya jelas bertentangan dengan pandangan umum PAS apabila Tuan Ibrahim Tuan Man tanpa segan silu berkata bahawa mereka mempunyai ‘ramai calon perdana menteri yang berkelayakan’. Apa keperluan mereka untuk terus menyokong ‘kingmaker minoriti’ yang menjadikan dirinya sebagai perdana menteri lantas menafikan Muafakat Nasional mahkota kuasa sebagai perdana menteri?
Bagaimanapun tidaklah pelik untuk PAS berterusan menjadi pengikut yang hanya tunduk kepada Umno; mereka pada akhirnya masih menikmati bulan madu di dalam kuasa atas budi Umno. Namun untuk Umno tunduk dan menerima Muhyiddin menidakkan logik DNA parti itu sendiri.
Benih tak puas hati
Adakah Muafakat Nasional telah meninggalkan hasrat mereka – yang merupakan satu rahsia umum – untuk menghapuskan Bersatu? Mengapa tidak menjarah apa sahaja sumber yang ada dan tinggalkan sahaja Bersatu? Mengapa tidak lengkapkan sahaja persediaan untuk pilihan raya mengejut dan mengembalikan mahkota kuasa kepada pemilik yang paling berhak, iaitu Umno?
Yakinlah bahawa rancangan tersebut masih lagi berjalan. Namun bola lencong kononnya sokongan terhadap Muhyiddin ini hanyalah untuk memaparkan kesatuan dalam kalangan parti-parti Melayu dan tidak lebih daripada ilusi untuk pengundi atas pagar Melayu, selain daripada jalan untuk memperdaya Muhyiddin semata-mata.
Ironinya, Umno dilihat teragak-agak untuk kembali berkuasa secara terang-terangan dan sebenarnya tersekat dek naratif mereka sendiri untuk bersatu di bawah penyatuan tidak sah mereka iaitu Perikatan Nasional (PN).
Umno kini tidak mahu dilihat sebagai parti yang menjadi asbab untuk memecahkan penyatuan parti-parti Melayu. Sekiranya Umno terus menerus bergocoh dengan Bersatu, sudah tentu ini akan menyebabkan mereka dilihat sebagai antagonis dalam penyatuan palsu ini.
Jadi, adakah Muafakat Nasional akan kembali membuat pusingan-U atau memutuskan hubungan dengan Bersatu tanpa menjadi antagonis di kalangan sokongan golongan atas pagar yang sangat mereka perlukan untuk merebut Putrajaya?
Ketidakselesaan, sikap dabik dada yang dilihat dari Puad Zarkasi, Tengku Razaleigh, Lokman Adam, Nazri Aziz, Mohamad Hasan dan ramai lagi panglima Umno adalah benih-benih rasa tidak puas hati yang disemai awal, dan akhirnya akan dituai sebagai naratif pengkhianatan.
Ia akan membawa naratif Bersatu meminta lebih dari nilai mereka, kononnya parti itu mendapat habuan yang lebih dan akhirnya telah mengkhianati perjuangan demi agama, bangsa dan negara.
Keadaan ini kelak akan dilihat begitu tersusun rapi sebagai perbezaan dasar dan ideologi di antara Muafakat Nasional dan Bersatu yang muncul entah dari mana, yang akhirnya akan membawa kepada pengakhiran kepada penyatuan yang tidak lagi mampu dipertahankan.
Kembali kepada Umno
Apabila kisah ini dicorak dengan keretakan antara Muafakat Nasional dan Bersatu, rasa tidak puas hati di peringkat akar umbi Melayu akan mencapai takat didihnya dan Umno sudah pasti akan mengambil langkah untuk memutuskan penyatuan ini.
Mungkin mereka akan sedekahkan beberapa kerusi Parlimen kepada Bersatu sebagai tanda belas kasihan namun ia tidak bermakna lagi. Mereka juga mungkin akan menghulurkan talian hayat dalam bentuk jemputan untuk kembali menyertai Umno; yang mana faktanya hal ini telah pun ditayangkan kepada khalayak secara terang-terangan.
Kita mungkin tertanya-tanya bagaimanakah Muafakat Nasional mahu menyampaikan propaganda mereka agar sampai kepada khalayak. Telah terbukti, Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah sesuai sebagai operator utama apabila kita berbicara tentang kesetiaan.
Beliau sudah pasti tiada masalah untuk memilih kembali ke dalam kancah kuasa pastinya sebagai galang ganti terhadap kerjasama ini malah terhadap ‘ketua’ beliau sendiri, Azmin Ali, yang sudah pasti akan dihumban pada waktu tersebut.
Sama ada beliau tahu atau beliau menafikannya, atau sibuk menyusun strategi, atau sudah mabuk dengan kuasa sehingga tidak jelas tentang gempa yang sedang berlangsung, atau semuanya sekali, semuanya serba tidak kena buat Muhyiddin di Seri Perdana.
Yang pasti Tan Sri, sesuatu yang bahaya sedang dalam perjalanannya.
_______________________________________________________________________HOWARD LEE ialah Adun Pasir Pinji, Perak, merangkap ketua Pemuda DAP Kebangsaan.
Author Profile
Latest entries
- NationalAugust 25, 2021Fokus PRU15, Bukan Kerusi Pengerusi PH Atau Ketua Pembangkang
- NationalAugust 25, 2021Hadi Awang: Taliban dah Berubah, Jangan Percaya pada Media Jahat
- NationalAugust 25, 2021Menjelang Pengumuman Kabinet, Ulama Pas: Jangan Sesiapa Jadi ‘Abang Long’
- PolitikAugust 25, 2021Puad: Lantik Azmin Ali Sebagai TPM Umpama Bunuh Diri