Azmin Mahu Berdamai Dengan Anwar?
Azmin Mahu Berdamai Dengan Anwar?
Tidak sampai sejam sebelum Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan penggulungan di Kongres Nasional Keadilan tengahari tadi, Azmin Ali yang tidak hadir di kongres tersebut tiba-tiba menulis di laman sosialnya mengiktiraf kepimpinan Presiden PKR itu.
Beliau menyebut “Dia masih presiden saya. Itulah sebabnya saya perlu berunding dan bercakap dengan dia, yang saya lakukan dan saya akan terus berbuat demikian, jadi tak ada masalah.”
Dengan kata-kata yang ditulisnya itu, apakah Timbalan Presiden PKR itu kini sudah mula mengendur lantaran melihat sokongan perwakilan kongres yang kuat kepada Anwar?
Bagaimana agaknya pendirian beliau jika perwakilan yang turut keluar meninggalkan dewan kongres bersamanya semalam melebihi separuh daripada keseluruhan jumlah perwakilan?
Dia masih ketua saya, presiden saya. Itulah sebabnya saya perlu berunding dan bercakap dengan dia, yang saya lakukan dan saya akan terus berbuat demikian. pic.twitter.com/ZzH0TRY9Vt
— Mohamed Azmin Ali (@AzminAli) December 8, 2019
Apakah mungkin kata-kata seperti ditulis di media sosialnya itu masih diungkapkannya?
Selain itu, apakah dengan kata-kata yang ditulis Azmin itu yang menyebabkan nada ucapan Anwar semasa penggulungan tadi jadi berbeza dan tidak seperti yang dijangka?
Jika diperhatikan ucapan penggulungan Anwar nampak bernada lebih lembut, santai dan lebih menyeru ke arah perpaduan, walaupun mengakui nada keras ucapan sesetengah perwakilan bukanlah suatu kesalahan.
Beliau juga menjelaskan petikan ucapannya berkaitan Si Kitul dan Raja Mendeliar tidak sama sekali bermaksud untuk menyinggung sesiapa, tetapi hanya berupa mesej peringatan tentang bahayanya fitnah serta pengkhianatan.
Jangkaan perwakilan bahawa Anwar akan membidas Azmin dengan keras kerana meninggalkan dewan kongres semalam dan kemudian mengadakan sidang media mengkritiknya, nyata tidak menjadi kenyataan.
Dalam pada itu, dengan nada berbeza yang tiba-tiba ditunjukkan Azmin melalui media sosialnya itu, apa jadi dengan Majlis Makan Malam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 anjurannya di Hotel Renaissance malam ini?
Apakah ucapan Azmin di majlis itu turut bernada lembut dan tidak lagi menyerang Anwar seperti banyak dilakukannya sebelum ini?
Soalan lebih besar, benar-benar sediakah Azmin mahu berdamai dengan Anwar selepas ini?
(ShahbudinHusin 08 Dis 2019)