Belanjawan Negeri 2021 Tidak Akan Menyelamatkan Industri Pelancongan, Kata Pemain Industri
Belanjawan Negeri 2021 Tidak Akan Menyelamatkan Industri Pelancongan, Kata Pemain Industri
MTN – Pemain industri pelancongan meluahkan rasa kesal dengan Belanjawan 2021 yang disifatkan tidak akan mampu menyelamatkan apa yang tersisa dalam industri yang menerima tempias hebat akibat wabak Covid-19 itu.
Presiden Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) Tan Kok Liang berkata belanjawan itu tidak menyediakan subsidi upah yang cukup untuk mengelakkan pemberhentian kerja, serta tidak menyediakan sebarang insentif untuk menggalakkan pelancongan domestik.
“Harapan untuk 12 tahun akan datang adalah hambar, tanpa sokongan yang tepat, kita pasti melihat industri ini mengecut dengan cepat dan drastik […]
“Kita tak dapat lari daripada membandingkan situasi di negara kita dengan negara-negara lain seperti Singapura yang bukan sahaja melaksanakan rangsangan praktikal dan berkesan, tetapi sudah ke hadapan dalam pembukaan semula sempadan, sekali gus menghidupkan semula industri pelancongan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Katanya, kerajaan sepatutnya memperkasa lagi program subsidi upah dan melanjutkan moratorium pinjaman untuk sektor pelancongan sehingga Jun 2021.
Tambahnya peruntukan kerajaan sebanyak RM50 juta untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan baik pulih kemudahan pelancongan juga tidak cukup untuk meningkatkan hasil pelancongan.
Dia turut menggesa agar program latihan dan penempatan semula bagi kakitangan penerbangan, dikembangkan meliputi seluruh industri pelancongan.
‘Inikah penamatnya’?
Sementara itu, Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (Mata) berkata ucapan belanjawan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz di parlimen semalam hanya menyentuh beberapa sektor sahaja dalam industri pelancongan.
“Inilah membuatkan kami sangat kecewa dengan Belanjawan 2021 kerana besar kemungkinan daripada 3.6 juta tenaga kerja di dalam sektor pelancongan (ramai) bakal hilang mata pencarian,” kata Presiden Mata Mohd Khalid Harun.
Katanya, dia tidak faham rasional kerajaan menyediakan Geran Khas Prihatin Tambahan sebanyak RM1,000 untuk hanya 20,000 peniaga dan pemandu di Sabah.
“Mungkin di mata kerajaan, peniaga-peniaga selain di Sabah ini masih mengaut keuntungan pada ketika ini?” soalnya.
Tambahnya, tumpuan industri pelancongan kini hanyalah skim pembiayaan RM1 bilion dalam Penjana, diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada Jun, namun pihak bank didakwa sukar meluluskan permohonan berkenaan.
“Penggiat pelancongan merasakan seperti dipermainkan oleh pihak institusi kewangan kerana selepas lima bulan diumumkan, hanya tiga peratus dana tersebut telah diluluskan permohonannya oleh mereka,” katanya yang mengesorkan agar dana tersebut diuruskan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (Motac) yang lebih memahami keadaan penggiat pelancongan ketika ini.
Khalid turut mempersoalkan nasib kakitangan hotel yang terpaksa ditutup operasi, di kala bekas kakitangan penerbangan menerima latihan oleh kerajaan.
Dia turut membangkitkan nasib pengusaha bas persiaran yang berdepan risiko bankrap kerana tak dapat melunaskan pinjaman kenderaan akibat tidak dapat beroperasi.
“Mungkinkah pelancongan akan berkubur dengan Belanjawan 2021 ini?! Masih adakah harapan di dalam industri pelancongan Malaysia?” soalnya.
Ketua OYO Malaysia, Tan Ming Luk turut menyuarakan kekecewaan terhadap kekurangan insentif untuk merangsang pelancongan domestik dalam belanjawan, meskipun menyambut baik inisiatif lain diumumkan Tengku Zafrul.
Satu cadangan utama oleh OYO untuk merangsang pelancongan domestik adalah menerusi baucar pelancongan digital, selain pelepasan sementara ke atas semua cukai jualan dan perkhidmatan serta yuran lesen selama satu tahun.
“Sebelum ini kami dah cadangkan hal ini kerana kami percaya baucar pelancongan digital dapat memberi manfaat kepada perniagaan dalam rantaian bekalan pelancongan, terutamanya sektor makanan dan minuman yang kebanyakannya dimiliki dan dijalankan oleh B40 dan M40.
“Pelepasan sementara terhadap semua cukai jualan dan perkhidmatan pula dapat memberikan lebih modal di tangan pengusaha kecil dan sederhana untuk mendepani kemerosotan ekonomi,” katanya semalam.
Semalam, Tengku Zafrul mengumumkan beberapa inisiatif bagi memastikan kelangsungan industri pelancongan.
Ini termasuklah RM50 juta untuk latihan dan penempatan semula 8,000 pekerja penerbangan, serta menyediakan peluang pekerjaan sebagai jurupandung pelancong di teman negara kepada 500 komuniti setempat dan Orang Asli.
RM50 juta akan disalurkan bagi penyelenggaraan dan baik pulih kemudahan pelancongan, RM20 juta untuk menambah baik dan mempromosi kampung budaya di Terengganu, Melaka, Sarawak dan Negeri Sembilan, dan RM10 juta untuk memelihara bangunan warisan kerajaan.
Sejumlah RM35 juta diperuntukkan untuk meningkatkan daya saing industri pelancongan kesihatan tempatan; RM1,000 buat 20,000 peniaga dan penjaja serta pemandu teksi, e-hailing kereta sewa dan pemandu pelancong di Sabah.
Tabung Inisiatif Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) akan mengecualikan levi buat sektor pelancongan dan syarikat yang terjejas akibat Covid-19 selama enam bulan bermula 1 Jan tahun depan.
[mk]
Author Profile
Latest entries
- Kabar LainDecember 22, 2021Peningkatan Paras Air di Sebahagian Shah Alam
- Seni & HiburanDecember 22, 2021Uyaina Teruskan Majlis Nikah Walaupun Pelamin Tenggelam
- EkonomiDecember 21, 2021Swift Haulage Berhasil Disenaraikan di Pasaran Utama
- Top NewsDecember 21, 202117 Disahkan Terkorban Akibat Banjir di Selangor