Cadangan Bina Akademi Nicol Memerlukan Kajian Menyeluruh | Malaysia News

Cadangan Bina Akademi Nicol Memerlukan Kajian Menyeluruh

Cadangan Bina Akademi Nicol Memerlukan Kajian Menyeluruh

Kuala Lumpur, MTN – Cadangan membina Akademi Skuasy Nicol sebagai menghargai jasa dan sumbangan besar bekas ratu skuasy negara Datuk Nicol David memerlukan kajian menyeluruh dan penelitian yang teratur.

Pengarah Kejurulatihan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) Mej (B) S. Maniam berkata pihaknya mengalu-alukan cadangan tersebut, namun tidak mahu akademi berkenaan menjadi projek gajah putih disebabkan tanpa perancangan rapi.

“Ia satu idea yang baik dan kami sentiasa menerima cadangan sebegini untuk pembangunan sukan skuasy negara. Tetapi ia perlukan penelitian dan perancangan cukup rapi sebelum mula dilaksanakan.

“Antaranya ialah objektif pembinaan akademi ini, di mana lokasi, siapa bakal kendalikannya dan banyak persoalan yang perlu difikirkan sebelum dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata pada masa ini, selain Akademi Skuasy Pulau Pinang kendalian Persatuan Raket Skuasy Pulau Pinang (SRAP) yang menempatkan Nicol David International Squash Centre, terdapat juga akademi lain seperti Malaysia Squash Academy di Sekolah Menengah Kebangsaan (L) Bukit Bintang.

Gelanggang kaca di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, yang menjadi venue kejohanan berprestij tinggi, turut dinamakan sebagai Arena Nicol David sejak 2009.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Jelebu Datuk Seri Jalaluddin Alias mencadangkan Akademi Skuasy Nicol ditubuhkan bagi membolehkan legenda skuasy itu kembali menyumbang kepakara n dan pengalamannya kepada pembangunan skuasy negara, sekali gus dapat melahirkan lebih ramai atlet bertaraf ‘Nicol David’ pada masa akan datang.

“Saya juga mencadangkan kerajaan beri suatu inisiatif khas buat Nicol yang berjaya mengharumkan nama Malaysia di mata dunia. Kita semua wajar berasa bangga apabila beliau (Nicol) dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Atlet Terunggul Sepanjang Zaman Sukan Dunia,” katanya dalam kenyataan.

Nicol dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Atlet Terunggul Sepanjang Zaman Sukan Dunia pada Isnin lepas apabila memperoleh 318,943 undi diadakan secara dalam talian yang dianjurkan Persatuan Sukan Dunia Antarabangsa (IWGA) sempena sambutan ulang tahun ke-40 acara Sukan Dunia.

Nicol merupakan antara atlet terunggul negara apabila pernah muncul juara dunia sebanyak lapan kali, meraih 81 gelaran Jelajah Dunia Persatuan Skuasy Profesional (PSA) dan menduduki ranking nombor satu dunia untuk rekod 109-bulan (sembilan tahun) berturut-turut, sebelum bersara pada 2019.

 

[bernama]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply