Covid-19, Abdul Karim: Negeri Juga Ada Kuasa Dalam Kesihatan Dan Pencegahan | Malaysia News

Covid-19, Abdul Karim: Negeri Juga Ada Kuasa dalam Kesihatan dan Pencegahan

Covid-19, Abdul Karim: Negeri Juga Ada Kuasa dalam Kesihatan dan Pencegahan

Kuala Lumpur, MTN – Anggota Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim mengingatkan bahawa kedua-dua kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri diberi kuasa dalam Perlembagaan Persekutuan dalam soal kesihatan awam dan pencegahan penyakit.

Hassan menjawab peringatan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan industri Azmin Ali bahawa kerajaan negeri terdedah kepada tindakan undang-undang oleh pihak industri jika enggan membuka semula ekonomi di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) seperti yang diputuskan oleh kerajaan pusat.

Hassan yang juga pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Hubungan Negeri-Negeri Dan Persekutuan Parlimen, berkata Azmin perlu merujuk butiran No 7 dalalam Senarai iii – Senarai Bersama Jadual Kesembilan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Azmin atau kerajaan persekutuan tidak boleh hanya sekadar bergantung pkepada Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) untuk memaksakan kehendaknya supaya kerajaan negeri menurut keputusan kerajaan persekutuan agar sektor ekonomi dibuka semula pada 4 Mei 2020.

“Perlu diingat bahawa Senarai III – Senarai Bersama Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, status kuasa perundangannya lebih tinggi berbanding Akta 342 tersebut,” katanya dalam kenyataan semalam.

Semalam Azmin antara lain berkata keputusan kerajaan persekutuan membuka semula ekonomi adalah sah dari segi undang-undang, dan keputusan kerajaan negeri untuk tidak menyusulinya tidak bersandarkan kepada punca kuasa yang sah.

Sebelum ini dilaporkan enam negeri tidak akan membuka semula sektor ekonomi pada 4 Mei dan akan meneruskan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Negeri-negeri berkenaan ialah Sarawak, Sabah, Pulau Pinang, Pahang, Kelantan dan Kedah.

Hassan menyeru Azmin, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan kerajaan pusat supaya menghormati kuasa kerajaan-kerajaan negeri.

“Malaysia ini sebuah negara persekutuan yang mengamalkan prinsip Federalisme yang bidang kuasa masing-masing (Negeri-Negeri dan Persekutuan) telah tertulis dengan nyata di bawah Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

“Keputusan yang dipersetujui bersama dalam soal untuk membuka semula sektor ekonomi akibat wabak penyakit Covid-19 adalah satu keputusan besar yang penting.

“Keputusan itu perlu dilihat ada kewibawaan, diyakini, tepat dan boleh dipertanggungjawabkan supaya ia akan dihormati oleh semua pihak, sama ada rakyat, pihak industri, pelabur dan masyarakat antarabangsa.Imej dan nama baik kerajaan persekutuan dan negeri juga akan terpelihara,” katanya lagi.

Pada 1 Mei, Muhyiddin mengumumkan bahawa kebanyakan sektor ekonomi dan perniagaan akan dibenarkan beroperasi semula di bawah penguatkuasaan PKPB.

Bagaimanapun kebenaran itu tidak terpakai kepada kegiatan atau perniagaan yang membawa kepada perhimpunan, sentuhan badan dan kesukaran mengamalkan penjarakan sosial.[mk]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply