Ditengah Pandemik Covid-19, Bumi Kali Ini Tarik Nafas Lega | Malaysia News

Ditengah Pandemik Covid-19, Bumi Kali Ini Tarik Nafas Lega

Ditengah Pandemik Covid-19, Bumi Kali Ini Tarik Nafas Lega

Kuala Lumpur, MTN – Hari ini merupakan ulang tahun ke-50 sambutan Hari Bumi Antarabangsa dan nampaknya, Planet Bumi mempunyai lebih banyak alasan untuk meraikannya berbanding manusia.

Pandemik Covid-19 yang menyebabkan manusia terpaksa duduk di rumah masing-masing hampir di setiap negara sejak kira-kira sebulan lepas telah menyaksikan penurunan dalam tahap pencemaran udara, air, tanah dan bunyi di seluruh dunia.

Ini membolehkan Bumi menarik nafas lega.

Namun untuk berapa lama?

Dalam amanat beliau sempena sambutan Hari Bumi Antarabangsa, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres berkata krisis Covid-19 merupakan satu kejutan yang belum pernah terjadi dari segi krisis persekitaran yang sedang berlaku di planet ini.

“Kita perlu menjadikan pemulihan ini sebagai satu peluang sebenar untuk melakukan perkara yang betul pada masa hadapan.

“Gangguan iklim semakin menghampiri keadaan yang mustahil untuk dipulihkan. Kita perlu mengambil tindakan tegas untuk melindungi planet kita daripada ancaman koronavirus mahupun gangguan iklim sedia ada,” katanya.

Guterres berkata memandangkan negara-negara di seluruh dunia membelanjakan sejumlah besar wang untuk pulih daripada wabak koronavirus, mereka perlu mewujudkan pekerjaan serta perniagaan baharu menerusi satu peralihan yang bersih dan hijau.

“Apabila wang pembayar cukai digunakan untuk menyelamatkan perniagaan, ia hendaklah disusuli dengan pencapaian ke arah mewujudkan pekerjaan hijau dan pertumbuhan lestasi.

“Kekuatan fiskal hendaklah memacu peralihan daripada ekonomi kelabu kepada hijau dan menjadikan masyarakat serta orang ramai lebih berdaya tahan,” katanya.

Guterres berkata dana awam hendaklah digunakan bagi membuat pelaburan untuk masa hadapan, bukan masa silam, dan mengalir ke arah sektor serta projek lestari yang membantu persekitaran serta iklim manakala subsidi bahan bakar fosil perlu dihentikan dan mereka yang melakukan pencemaran perlu dihukum.

“Risiko dan peluang yang wujud susulan perubahan iklim perlu digabungkan dengan sistem kewangan serta semua aspek pembuatan dasar dan infrastruktur awam.

“Kita perlu bekerjasama sebagai sebuah komuniti antarabangsa,” katanya.

Sempena sambutan Hari Bumi, bukanlah sesuatu yang membebankan untuk orang ramai di seluruh dunia mendengar rayuan Guterres agar menyertai beliau dalam menuntut masa hadapan yang sihat dan berdaya tahan demi kesejahteraan diri mereka dan bumi sendiri .[Bernama]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply