Dr Mahathir: Rasuah Untung Jangka Pendek, Anak Cucu Jadi Mangsa | Malaysia Top News
August 9, 2020

Dr Mahathir: Rasuah Untung Jangka Pendek, Anak Cucu Jadi Mangsa

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini menegaskan sekali lagi mengenai keperluan rakyat Malaysia memiliki nilai-nilai yang mulia jika mahukan negara berjaya.

“Kita amanah, tidak mungkir janji, bekerja keras. Kalau ada nilai hidup ini, percayalah kita akan dapat kejayaan,” katanya.

Beliau berkata kegagalan berbuat demikian, misalnya dengan terlibat dalam amalan rasuah mungkin memberikan keuntungan jangka pendek tetapi tindakan sebegitu akan mengorbankan generasi masa depan.

“Saya berkali-kali ulang perkara ini tapi masing-masing tak nampak kesan masa depan. Kesan hari ini mungkin tak sama.

“Umpamanya kita dihulurkan sogokan rasuah, waktu ini kita dapat dan kita mungkin rasa kita untung.

“Tapi bangsa kita mudah disogok rasuah. Percayalah negara kita akan hancur dan kita akan jadi mangsa. Anak cucu kita akan jadi mangsa,” tegas beliau pada rancangan bual bicara dalam talian, “Mengopi Malam Minggu.”

Menjelaskan lanjut, Dr Mahathir berkata rakyat Malaysia tidak akan berjaya tanpa mengamalkan nilai-nilai mulia yang disebutkannya tadi.

“Nilai hidup mulia bermakna kita rajin bekerja, kita beramanah, kita tidak rasuah, kita tolak benda tidak baik, kita tak mencuri.

“Kalau kita tolak benda yang tak baik, (ambil) hanya yang baik, Malaysia akan jadi negara maju dalam jangka masa yang pendek,” katanya lagi.

Mahathir juga ditanya mengenai perkembangan politik baru-baru ini, terutama percubaan rampasan kuasa di Sabah tetapi memberikan jawapan yang bersifat umum.

Katanya, walaupun wakil rakyat boleh menukar sokongan jika parti mereka tersasar, mereka tidak seharusnya melakukannya atas dorongan peribadi.

“Kita boleh keluar parti kerana parti menyeleweng. Tapi apa berlaku bukan parti menyeleweng, wakil rakyat menyeleweng kerana ada upah, janji-janji manis dari pihak lain.

“Kita lupa janji kita kepada rakyat dan kita tinggal parti kita dan kerajaan kita.

“Ini tidak baik bagi negara demokratik kerana kita abaikan janji kita kepada rakyat,” katanya lagi.

Share on:
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •