Global Sadaqah Berjaya Tarik Pelabur Raih Dana RM450,000 | Malaysia News

Global Sadaqah Berjaya Tarik Pelabur Raih Dana RM450,000

Global Sadaqah Berjaya Tarik Pelabur Raih Dana RM450,000

Kuala Lumpur, MTN – Syarikat permulaan fintech tempatan Global Sadaqah meraih dana sebanyak RM450,000 melalui penerbitan saham menerusi platform pembiayaan dana awam berekuiti patuh-Syariah sepenuhnya yang dikawal selia baharu iaitu Ethis Malaysia.

Dibuka selama 72 jam, kempen pembiayaan dana awam kilat ini berjaya melangkaui sasaran minimum RM200,000 dengan pantas, dengan menarik para pelabur daripada lebih sepuluh buah negara termasuk pelabur angel yang strategik.

Para pelabur angel itu termasuk Azmi Muslimin yang berpangkalan di Singapura, Khaled Fuad yang berpangkalan di Gulf Cooperation Council (GCC) dan Awaiz Patni, yang merupakan individu-individu yang mempunyai kerjaya dan pengaruh di dalam pengurusan syarikat-syarikat pelaburan berpengaruh.

Ifran Tarmizi, Pengurus Global Sadaqah untuk Malaysia berkata, pelaburan yang diterima akan digunakan untuk mengembangkan perkhidmatan yang ditawarkan di negara ini, meningkatkan pengaruh mereka di pasaran-pasaran utama dan mengadaptasi teknologi-teknologi baharu.

Bidang fokus semasa Global Sadaqah adalah untuk bekerjasama dengan lebih banyak korporat-korporat dan yayasan-yayasan yang menyediakan dana untuk program yang lestari dan berimpak, termasuk program Qard Hassan yang baru dilancarkan untuk perusahaan mikro di Malaysia.

Global Sadaqah juga sedang mengembangkan kerjasama SocioBiz mereka yang berjaya bersama Alliance Islamic Bank.

”Adalah amat penting ketika masa begini untuk meningkatkan pengagihan dan impak berkesan terutamanya kelestarian zakat dan derma dari penderma-penderma besar dan badan-badan korporat. Kami berusaha untuk menyediakan pusat perkhidmatan setempat untuk syarikat dan perniagaan milikan Muslim untuk mengagihkan dana sosial mereka.” jelas Ifran.

Walaupun mempunyai tumpuan khusus untuk pelanggan korporat, platform pembiayaan dana awam Global Sadaqah terbuka kepada umum dan ia sedang meraih populariti dengan pantas, berkembang dua kali ganda setiap tahun selama 2 tahun berturut-turut, dengan Malaysia dan Singapura kini menjadi 2 negara penderma tertinggi.

Platform ini memudahkan derma sumbangan dengan memberi akses kepada 11 saluran berbeza, termasuk penyedia-penyedia dompet maya di Malaysia, Bitcoin dan emas digital kerana menampilkan pelbagai kempen dari Rakan Amal yang telah disaring dan disahkan.

Kempen semasa yang terbuka termasuklah bantuan segera untuk bencana alam di Malaysia dan Indonesia serta usaha bantuan berkaitan dengan Covid-19.

 

[MG]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply