Hazli Sham - Dasar Kerajaan Malaysia Mengenai Gas Asli Yang Harus Sebanding Dengan Negara Lain | Malaysia News

Hazli Sham – Dasar Kerajaan Malaysia Mengenai Gas Asli Yang Harus Sebanding dengan Negara Lain

Hazli Sham – Dasar Kerajaan Malaysia Mengenai Gas Asli Yang Harus Sebanding dengan Negara Lain

Kuala Lumpur, MTN – Dasar-dasar dan inisiatif kerajaan Malaysia khususnya Dasar Tenaga Negara dan Pelan Hala Tuju Gas Asli (NGR) yang sedang dirangka, perlu setanding dengan negara-negara pengeluar utama bahan tersebut.

Presiden Persatuan Gas Malaysia (MGA) Hazli Sham Kassim berkata MGA misalnya telah menggesa agar NGR diwujudkan sejak 2018 lagi dalam usaha melindungi industri dengan memastikan jaminan bekalan, peningkatan permintaan serta meliberalisasi pasaran.

“Oleh itu, kami amat teruja untuk melihat pengumuman mengenainya pada suku pertama tahun depan,” jelasnya dalam kenyataan kemarin.

Sementara itu, MGA telah berjaya menyelaras Forum Tenaga Antarabangsa (IEF)-Kesatuan Gas Antarabangsa (IGU) Ketujuh yang bertemakan ‘Towards Recovery and Shared Prosperity: Natural Gas Opportunities for a Sustainable World,’ pada Khamis.

Acara dwitahunan itu yang dihoskan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri, dianjurkan bersama oleh IEF dan IGU dan buat pertama kali dijalankan secara maya di Kuala Lumpur.

Forum itu telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Selain itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed turut berperanan sebagai moderator bersama bagi forum peringkat menteri dengan Presiden IGU Prof Joe Kang dan Setiausaha Agung IEF Joseph McMonigle.

Hazli Sham berkata tema lain dalam perbincangan meja bulat itu turut menyentuh kepentingan peranan gas asli dalam peralihan tenaga; menyediakan sumber tenaga asas yang selamat, berpatutan dan mampan dalam sinergi bersama sumber tenaga boleh diperbaharui.

“Sinergi ini boleh meningkatkan peluang pelaburan penting bukan hanya di peringkat huluan tetapi juga dalam rantaian nilai,” ucapnya.

Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Muhyiddin dan Mustapa di atas kepercayaan bagi merealisasikan forum peringkat tertinggi dan berprestij yang berjaya dijalankan secara maya untuk pertama kalinya selepas Forum Gas Peringkat Menteri IEF-IGU diadakan julung kali pada 2008.

“Sesi itu turut diatur mengikut masa sesuai bagi membolehkan penyertaan mereka daripada zon masa global yang berbeza.

“Secara keseluruhannya, dua panel yang merangkumi seramai 13 Menteri-Menteri Tenaga, 16 pegawai kanan kerajaan, 12 pemimpin pertubuhan antarabangsa dan 40 pemimpin industri dari Asia, Timur Tengah, Afrika, Eropah, Amerika Utara dan Amerika Selatan menyertai acara ini,” katanya.

 

[bernama]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply