Huawei Sumbang 250 Tablet Pada Pelajar Kurang Berkemampuan | Malaysia News
September 20, 2024

Huawei Sumbang 250 Tablet Pada Pelajar Kurang Berkemampuan

Huawei Sumbang 250 Tablet Pada Pelajar Kurang Berkemampuan

Kuantan, MTN – Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd (Huawei Malaysia) semalam menyumbang 250 unit tablet Huawei MatePad T10 kepada pelajar kurang berkemampuan di Pahang untuk mengikuti pembelajaran hybrid, ekoran Malaysia kini beralih ke fasa pemulihan pandemik COVID-19.

Huawei Malaysia diwakili Timbalan Presiden Sumber Manusia syarikat itu Choh Yau Meng yang menyerahkan sumbangan tersebut kepada Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, bagi pihak pelajar berkenaan dalam satu majlis di sini.

Antara yang hadir di majlis serahan tablet tersebut adalah Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia, Michael Yuan dan Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad, yang menerimanya bagi pihak sekolah-sekolah yang terpilih.

Inisiatif ini adalah sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Huawei Malaysia bagi memudahkan pembelajaran atas talian kepada pelajar, terutamanya daripada golongan kurang bernasib baik, yang mungkin menghadapi masalah untuk mengikuti pengajian.

Penutupan sekolah akibat peningkatan kes positif COVID-19 baru-baru ini telah mewujudkan keperluan mendesak terhadap akses peranti ICT dan Internet untuk membantu pelajar mengikuti sesi pembelajaran mereka, sama ada di sekolah atau di rumah.

Menurut Hasni, krisis kesihatan yang berterusan telah menjejaskan ribuan isi rumah, bukan sahaja di negara in, bahkan di seluruh dunia. Ini sekaligus meningkatkan keperluan untuk membantu golongan rentan di kalangan masyarakat kita.

“Saya amat berbesar hati kerana syarikat-syarikat korporat, tidak kira kecil atau besar dapat membantu golongan rentan dari aspek pendidikan.

“Dalam keadaan yang mencabar sekarang, adalah amat penting untuk melihat pemain industri seperti Huawei membantu mereka yang memerlukan dalam memastikan bahawa anak-anak kita dapat menjalani pembelajaran dari rumah dengan efektif.

“Inisiatif oleh Huawei Malaysia ini adalah salah satu contoh tanggungjawab sosial korporat yang baik. Sejajar dengan kepesatan teknologi, kami menghargai keprihatinan Huawei dalam menyedari akan kepentingan tablet untuk membuka lebih banyak peluang dan memperluas skop pembelajaran pelajar-pelajar.

“Oleh itu, kami berterima kasih kepada Huawei Malaysia kerana menawarkan bantuan ini dan kami akan memastikan tablet ini akan digunakan dengan baik,” katanya.

Michael Yuan pula berkata sebagai peneraju industri teknologi, Huawei Malaysia bukan sahaja komited dalam membangunkan teknologi di Malaysia, tetapi juga bagi membantu pembangunan anak muda di negara ini melalui pelbagai inisiatif kemasyarakatan.

Usaha ini akan merealisasikan matlamat melahirkan masyarakat berpendidikan yang progresif dan inklusif, serta merancakkan Ekonomi Digital.

Usaha murni ini adalah bagi membantu mereka menjalani proses pembelajaran dalam talian.

 

[AW]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply