Ini Penjelasan Wan Azizah Soal Tuduhan Zahid Tentang Sumbangan AS$50 Juta | Malaysia Top News
May 27, 2020

Ini Penjelasan Wan Azizah Soal Tuduhan Zahid Tentang Sumbangan AS$50 Juta

Kuala Lumpur, MTN – Bekas timbalan perdana menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari berkata sumbangan AS$50 juta dari Qatar kepada pelarian Rohingya di Malaysia tidak pernah disalurkan kepada Pakatan Harapan.

Sebaliknya, dana itu disalurkan terus kepada beberapa NGO berkaitan dengan Yayasan Kebajikan Negara cuma menjadi penyelaras.

Penjelasan Wan Azizah yang juga bekas menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat dibuat selepas Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi semalam menafikan wang itu masuk ke dalam akaun peribadinya.

Zahid juga menggesa PH untuk tampil dengan penjelasan. “Zahid sebagai Presiden UMNO, sebuah parti yang sekarang ini bersama kerajaan Perikatan Nasional, seharusnya boleh memperolehi segala maklumat berkaitan hal ini hanya dengan berhubung dengan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

“Perkara penting ialah peruntukan ini tidak pernah disalurkan kepada kerajaan tetapi diberi terus oleh Qatar melalui Qatar Charity (QC) kepada badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat.

“Yayasan Kebajikan Negara (YKN), sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, ialah badan penyelaras bagi bantuan tersebut selaras dengan satu keputusan Kabinet pada 5 April 2019.

“Keputusan kabinet itu juga melantik Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebagai pengerusi jawatankuasa pemantau bagi program ini dan melapor terus kepada satu jawatankuasa tertinggi yang saya pengerusikan sehingga 23 Februari 2020,” kata beliau pada suatu kenyataan hari ini.

Azizah turut menjelaskan kerajaan PH mengatur pentadbiran bantuan pelarian sebegitu rupa sebagai cara untuk memastikan ketelusan dan pengurusan yang baik.

Pada hantaran di media sosial, Zahid mendakwa AS$50 juta (kadar pertukaran semasa RM217.7 juta), yang pada awalnya dijanjikan oleh Qatar kepada pentadbiran BN terdahulu, telah diterima oleh kerajaan PH selepas PRU14.

Zahid pada hantarannya turut berkongsi pautan hantaran Dr Wan Azizah pada Nov 2018 yang mengucapkan terima kasih kepada pemerintah Qatar atas sumbangan itu.

Pada kenyataan hari ini, Wan Azizah menjelaskan bantuan kemanusian daripada Qatar Fund for Development (QFFD) kepada pelarian Rohingya diperuntukkan dalam tiga sektor – kesihatan, pendidikan dan kehidupan berdikari.

“Bagi pelaksanaan sektor kesihatan, satu perjanjian projek telah dimeterai pada 13 September 2019 di antara YKN, QC dan tiga buah NGO yang terlibat dalam sektor ini, iaitu Mercy Malaysia, Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMARET) dan Malaysia Relief Agency (MRA), dengan agensi penyelaras (iaitu YKN) telah melalui proses ketekunan wajar (“due diligence”) yang sewajarnya.

“Perjanjian ini adalah untuk tempoh setahun sehingga 12 September 2020 dan akan disambung setiap tahun selama tiga tahun, dengan peruntukan tahunan sebanyak AS$5 juta atau AS$15 juta untuk tiga tahun.

“Pada ketika berlaku peralihan kuasa di Putrajaya, pelaksanaan sektor pendidikan berada di peringkat penilaian oleh QFFD manakala perbincangan belum bermula bagi sektor mandiri kehidupan.

Walaupun pemerintah Qatar menyatakan komitmen untuk menyalurkan bantuan selama tiga tahun, namun pihak Qatar juga menyebut kemungkinan untuk melanjutkan lagi bantuan tersebut selama tiga tahun lagi, mengikut keperluan pada waktu itu bagi memastikan kemampanan program berkenaan.

Kata Wan Azizah bantuan Qatar telah membantu meringankan beban yang ditanggung oleh kerajaan Malaysia untuk membantu Rohingya.

Anggota Parlimen Pandan itu, bagaimanapun, mendesak kerajaan Myanmar untuk memikul tanggung jawab terhadap pelarian besar-besaran Rohingya dan bukannya menyerahkan tanggungjawab itu kepada negara-negara jiran.[mk]

Share on:
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •