Langgar KKP, Manoharan Gesa Mahkamah Tinggi Penjarakan Timbalan Menteri Dan Exco Perak | Malaysia News

Langgar KKP, Manoharan Gesa Mahkamah Tinggi Penjarakan Timbalan Menteri dan Exco Perak

Langgar KKP, Manoharan Gesa Mahkamah Tinggi Penjarakan Timbalan Menteri dan Exco Perak

Kuala Lumpur, MTN – Bekas anggota parlimen, M Manoharan menyeru Mahkamah Tinggi melakukan semakan dan meningkatkan hukuman yang dikenakan terhadap Timbalan Menteri Kesihatan, Noor Azmi Ghazali dan exco Perak, Razman Zakaria kerana melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP).

Manoharan, yang merupakan seorang peguam, berkata kedua-dua mereka harus dipenjarakan kerana denda “tidak mencukupi” atas kesalahan yang dilakukan.

“Saya menyeru kepada Hakim Mahkamah Tinggi, Ipoh atau Taiping di Perak memanggil kes tersebut dan mengkaji dan menyemak semula perintah Majistret di Gerik, Perak untuk menambah hukuman yang dikenakan terhadap timbalan Menteri Kesihatan dan exco Perak kerana mereka jelas telah melanggar Peraturan 11 (1) Peraturan-Peraturan yang diwartakan yang digubal di bawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit,” katanya.

“Kedua-dua mereka tidak semata-mata ‘melanggar prosedur operasi standard’, tetapi dengan jelas telah melanggar peraturan perintah kawalan pergerakan dan boleh dihukum di bawah Peraturan 11 (1) peraturan-peraturan sama.

“[…] Hukuman penjara adalah yang paling sesuai dalam keadaan ini kerana sebarang kenduri dalam tempoh ini ketika begitu ramai yang mati di seluruh dunia adalah sesuatu yang keji,” kata bekas Adun DAP Kota Alam Shah itu dalam satu kenyataan.

Noor Azmi dan Razman pada Selasa lalu mengaku bersalah kerana melanggar PKP ketika melawat dan berkongsi hidangan di sebuah sekolah tahfiz di Lenggong awal bulan ini tanpa mengamalkan penjarakan sosial.

Mereka masing-masing didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di Gerik.

Di bawah Seksyen 323 Kanun Acara Jenayah, seseorang hakim boleh memeriksa rekod mana-mana prosiding di hadapan mana-mana mahkamah yang lebih rendah.

Sehubungan itu, Manoharan berkata keputusan mahkamah majistret di Gerik perlu diperbetulkan.

“Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan Malaysia berkata, semua adalah sama di sisi undang-undang”.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob semalam menafikan amalan dwistandard dalam menjatuhkan hukuman terhadap kedua-dua mereka, berbanding hukuman penjara yang dikenakan kepada rakyat biasa untuk kesalahan yang sama.

Ini kerana kerajaan mengumumkan bahawa wakil rakyat boleh bergerak untuk membantu rakyat dalam tempoh perintah itu, selagi mereka mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan.

Oleh itu, Noor Azmi dan Razman tidak melanggar PKP tetapi sebaliknya hanya melanggar SOP, seperti tidak mengamalkan penjarakan sosial.

Penjelasan itu bagaimanapun ditegur oleh peguam Syahredzan Johan yang mengatakan menteri berkenaan tidak boleh meremehkan kesalahan yang dilakukan kedua-dua wakil rakyat tersebut.

Syahredzan, yang juga setiausaha politik kepada anggota parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang berkata perhimpunan untuk pelbagai tujuan dilarang di bawah undang-undang berkenaan.

Ini katanya tidak berbeza dengan jenayah yang dilakukan oleh mana-mana orang biasa.[mk]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply