Ini Pesan Nik Aziz 1992 untuk PAS 2020
Ini Pesan Nik Aziz 1992 untuk PAS 2020
Kuala Lumpur, MTN – Khaidir Khatib, bekas Setiausaha Politik dan Akhbar kepada Allahyarham Dato’ Muhammad Asri Haji Muda, ketika Asri menjawat peranan Menteri Besar Kelantan; pernah menceritakan perihal satu pesan oleh pemimpin gerakan Islam Indonesia, Allahyarham Muhamad Natsir dari Parti Masyumi Indonesia kepada PAS.
Ketika itu Muhamad Natsir sempat menjadi Perdana Menteri Indonesia selama enam bulan antara tahun 1950-1951 iaitu di bawah Presiden Soekarno. Ini sebelum berlaku perselisihan politik yang akhirnya mengakibatkan Masyumi terlantar dari politik Indonesia.
Sebelum meninggal dunia Muhamad Natsir sempat menitipkan satu pesan untuk disampaikan kepada Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Yang Dipertua PAS Pusat, Ustaz Fadzil Mohd Noor. Pesan itu menerusi Khaidir Khatib. Bunyi pesan itu begini:
“Saya mengingatkan pemimpin-pemimpin PAS di negeri ini supaya jangan leka dengan kemewahan dunia. Saya tidak bimbang sekiranya pemimpin PAS mengalami kesusahan hidup tetapi khuatir seandainya diuji dengan kesenangan ataupun kemewahan.”
Muhamad Natsir menambah lagi, “Maklumkan kita orang biasa, apabila kita tidak biasa dengan kemewahan tiba-tiba datang, sudah tentu kita terpesona dan lalai dengan kemewahan tersebut.”
Pesan-pesan terakhir Muhamad Natsir itu diungkapkan kembali menerusi satu wawancara dengan Ramli Yamat untuk siaran akhbar Harakah dalam tahun 1993.
Masyumi, untuk generasi baru PAS yang kurang membaca sejarah bermaksud Majlis Syura Muslimin Indonesia. Ia ditubuhkan sekitar tahun 1945, ketika pendudukan Jepun.
Dalam tahun 1955, 48 peratus undi Masyumi ketika pilihan raya Indonesia , tidak tertumpu di Pulau Jawa semata, tetapi tersebar di seluruh Indonesia berbanding parti lain seperti PNI (Partai Nasional Indonesia) ataupun PKI (Partai Komunis Indonesia). Ini menunjukkan Masyumi adalah sebuah gerakan politik yang berpengaruh besar.
Di Malaysia, dalam tahun 1960-an; peranan Muhamad Natsir juga amat mustahak dalam memulihkan hubungan Malaysia dan Indonesia setelah berlaku peristiwa pahit Konfrontasi.
Kebimbangan Muhamad Natsir betapa pemimpin PAS akan terpengaruh dengan kemewahan dunia bukanlah tidak berasas. Pada 7 Jun 1992, di Dewan KIA Alor Setar, Kedah; Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat berucap dalam satu majlis penerangan PAS Kedah dengan tajuk ‘Penghayatan Untuk Sebuah Kemenangan’.
Lepas menang di Kelantan
Untuk satu nota, PAS ketika itu baru memenangi Pilihan Raya Umum 1990 di Kelantan, dan bukan beroleh kuasa dengan cara bolos menebuk atap, menyusup ikut dapur, menyelinap ikut jamban, atau pecah masuk melalui pintu belakang.
Tuan Guru tidak alpa dengan kemenangan sebaliknya sangat berjaga-jaga menceritakan bagaimana PAS diduga dengan kemewahan ketika PAS terbabit dalam kerajaan campuran di peringkat persekutuan pada tahun 1972 tersebut. Persemendaan PAS di peringkat persekutuan itu berlaku ekoran rusuhan 13 Mei 1969. Nik Aziz menyatakan, saya kutip:
“Kerajaan campuran diwujudkan di Kelantan di peringkat persekutuan pada tahun 1972, ekoran daripada peristiwa berdarah 13 Mei 1969, Dato Md Asri Haji Muda melepaskan jawatan Menteri Besar Kelantan untuk menduduki kerusi menteri pusat.
Susunan ini kemudiannya dipereratkan melalui konsep BN pada tahun 1974. PAS ternyata mendokong kerajaan bukan sahaja di Kelantan malahan di peringkat pusat. Cabaran-cabaran dan ujian-ujian kemewahan hidup mulai mengepung para pimpinan PAS.
Dalam keadaan inilah Umno merancang kejatuhan PAS dan memang pakatan jahat itu berjaya dilaksanakan melalui pemerintahan Majlis Gerakan Negara (Mageran) di Kelantan pada 1977.
Pemerintahan darurat ini diisytiharkan oleh kerajaan persekutuan ekoran usul undi tidak percaya ahli-ahli Dewan Undangan Negeri PAS terhadap Menteri Besar Dato’ Haji Mohamad Nasir. Pilihan Raya Negeri Kelantan 1978 menyaksikan kejatuhan PAS setelah 18 tahun memerintah.”
Nah, inilah puncanya Tuan Guru Nik Aziz sangat antikhianat dan sangat menolak sebarang persetubuhan antara PAS dan Umno. Nik Aziz tahu persetubuhan itu memang sedap. Akan tetapi kesedapan itu tidak berbaloi kerana ia menjahanamkan roh gerakan Islam. Nik Aziz tahu, kerana Muhamad Natsir dari Masyumi pernah terkena.
Menurut Tuan Guru Nik Aziz lagi, dalam ucapan beliau pada tahun 1992 itu, Dewan Ulama PAS Negeri Kelantan telah membuat kajian untuk mengenal pasti sebab musabab PAS ditolak rakyat Kelantan pada tahun 1978. Kalah sehingga hanya sekadar memenangi dua dari 36 kerusi Dewan Undangan Negeri.
Terdapat tujuh punca PAS ditolak rakyat pada tahun 1978. Punca-punca ini terpakai untuk PAS pada tahun 2020. Yakni 30 tahun setelah ucapan Nik Abdul Aziz di Alor Setar ini. Elok kalau pengikut PAS merenung apa yang digariskan Nik Aziz itu. Tujuh sebab tersebut adalah, saya petik semula aslinya:
A. Pemimpin cuai terhadap pergerakan parti bila mana berada dalam BN (1974-1978).
B. Hasil kemenangan perjuangan dalam bentuk kebendaan telah meresapi kehidupan pemimpin sehingga rakyat terasa asing dan tersisih.
C. Tiada teguran-teguran yang membina diberikan kepada pemimpin tertinggi disebabkan kebimbangan akan kehilangan kepercayaan mereka.
D. “Gelombang intelek” menguasai pemimpin parti.
E. Perebutan di kalangan setengah pemimpin untuk menjadi calon dalam pilihanraya.
F. Pergolakan puak-puak dalam pemimpin parti di Kelantan.
G. Kurang kewaspadaan terhadap usaha-usaha jahat Umno yang menjadi rakan dalam BN.
PAS bawah Fadzil Noor
Tujuh sebab ini juga jika kita tekuni menjadi tenaga perubahan PAS pasca-1978 itu sehingga ia menjadi sebuah parti yang sangat demokratik dan mendokong demokrasi di bawah Ustaz Fadzil Noor.
Orang bijaksana akan menyatakan sejarah itu pengulangan, atau secara mudahnya ‘sejarah akan berulang’. Sesungguhnya tukang tabur pukat yang membawa PAS ke jalan Perikatan Nasional ini, akan menjadi tukang tabur jala yang sama menceburkan PAS dalam tujuh kancah di atas kembali.
Ia akan membawa PAS kepada lapis-lapis pengkhianatan terhadap rakyat. Yang bertindanan seperti mana lapis-lapis kemewahan yang dibimbangi oleh Muhamad Natsir dan Nik Abdul Aziz Nik Mat itu bertimpaan. PAS 2020 makin terjatuh dalam gaung tujuh lurah yang dipesan supaya dihindar pada tahun 1972 di atas.
Nik Aziz kita semua tahu seorang yang cakap serupa bikin, beliau memilih kehidupan sederhana, tidak bermewahan, antikhianat, berpegang pada janji dan menolak sebarang usaha tebuk atap atau pecah masuk belakang.
Nik Aziz juga seorang tokoh yang demokratik. Nik Aziz seorang demokrat yang tidak percaya kepada kerajaan pintu belakang. Nik Aziz bukan ulama atau mufti rasis yang mempertahankan perkataan khianat.
Akan tetapi mengapakah PAS, atau ahlinya tidak menyedari ini semua terjadi? Padahal Nik Aziz telah memberi firasatnya pada 1992; iaitu ‘kebendaan yang meresap kehidupan pemimpin’; ‘tiada teguran membina diberikan kepada pemimpin tertinggi’ disebabkan takut atau wala yang bongok; ‘dan kurang kewaspadaan terhadap usaha jahat Umno.’
Firasat Tuan Guru Nik Aziz itu nampaknya mengenai sangat dan berbetulan tepat pada tahun 2020, yakni 30 tahun setelah almarhum mengingatkan pengikut PAS mengenai penghayatan sebuah kemenangan.
Seorang dua mewa
Kita hidup dalam hari-hari penciptaan sejarah yang maha hebat dan besar. Kejahatan telah kembali, dan sekali lagi lebai diperdaya dan ditipu kerana ada seorang dua yang mewa.
Soalnya pada tahun 1978, PAS memiliki tokoh seperti Mohd Amin Yaakob, Ustaz Yahya Othman yang menerokai usaha muhasabah yang menurut Nik Aziz, ‘dilakukan dengan begitu berterus-terang sehinggakan ‘tidak disenangi oleh sebahagian tokoh-tokoh lama parti’.
Jadi Yahya Othman melakukan muhasabah jemaah tanpa terbawa-bawa dengan ugutan harus wala membabi buta. Dan juga PAS tatkala itu punya Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang bersederhana dan tidak sampai menerima habuan 85 ribu plus plus sebulan.
Hari ini PAS tidak memiliki pemimpin yang berketokohan apatah lagi berwibawa untuk membetulkan PAS kembali. PAS memerlukan tokoh seperti Ustaz Fadzil Noor, atau Tuan Guru Nik Aziz. Merenung firasat 1992 untuk muhasabah 2020; siapakah tokoh muda yang akan menyelamatkan PAS dari petaka dan dosa besar khianat berbohong dan tebuk atap yang sangat dahsyat ini.
Kerja memimpin gerakan Islam dan umat bukan kerja seorang nelayan. Kerja nelayan ialah menangkap ikan siakap senohong gelama ikan duri. Ia juga bukan kerja seorang perawat jin dengan jampi ruqyah fuh kanan fuh kiri. Perawat jin mungkin sekadar mampu memulih tenaga batin. Ia tidak dapat memulih tenaga harakah Islamiah.
Lebih dahsyat, Tahun 2020 ini bukan sekadar nama parti Islam yang jadi taruhan. Malang sekali, tindak tanduk kohong khianat itu telah meletakkan nama Islam sendiri menjadi taruhan.
FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Author Profile
Latest entries
- NationalAugust 25, 2021Fokus PRU15, Bukan Kerusi Pengerusi PH Atau Ketua Pembangkang
- NationalAugust 25, 2021Hadi Awang: Taliban dah Berubah, Jangan Percaya pada Media Jahat
- NationalAugust 25, 2021Menjelang Pengumuman Kabinet, Ulama Pas: Jangan Sesiapa Jadi ‘Abang Long’
- PolitikAugust 25, 2021Puad: Lantik Azmin Ali Sebagai TPM Umpama Bunuh Diri