Jualan Kenderaan Oktober Naik Hingga 43.4% | Malaysia News
Jualan kenderaan

Jualan Kenderaan Oktober Naik Hingga 43.4%

Kuala Lumpur, MTN – Jualan keseluruhan industri (TIV) sektor automotif di Malaysia meningkat 43.4% bulan ke bulan kepada 63,489 unit pada Oktober lalu berbanding 44,275 unit pada September 2021.

Automotif Malaysia (MAA) dalam kenyataan berkata, jualan lebih tinggi itu dipacu oleh syarikat yang meningkatkan pengeluaran dan penghantaran kenderaan untuk memenuhi pesanan tertunggak.

Selain itu, prestasi itu turut disokong oleh operasi perniagaan selama sebulan penuh dan lebih lama di seluruh negara.

”Ini adalah kali kedua tahun ini TIV bulanan melebihi 60,000 unit,” katanya.

Kali terakhir TIV melebihi 60,000 ialah pada bulan Mac lalu dengan jumlah 64,875 unit.

Menurut MAA, pada asas tahunan, jualan kereta Oktober meningkat 10.04% berbanding 57,695 pada 2020.

Bagaimanapun, bagi 10 bulan terkumpul, jualan kenderaan susut 4.81% kepada 382,379 daripada 401,714 tahun lalu.

Jumlah pengeluaran kenderaan juga susut 11.56% tahun ke tahun kepada 65,410 unit pada Oktober daripada 58,631 unit tahun sebelumnya.

Bagi 10 bulan terkumpul, jumlah pengeluaran kenderaan jatuh 1.36% kepada 369,406 daripada 374,494 tahun sebelumnya.

MAA menjangkakan jualan pada bulan November akan dikekalkan pada tahap Oktober 2021 berikutan kempen promosi akhir tahun yang akan merangsang jualan.

[MG]

Facebook Comments
Share on:
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •