Kapten TFC Baharu akan Dipilih dalam Masa Terdekat

Kapten TFC Baharu akan Dipilih dalam Masa Terdekat
Kuala Terengganu, MTN – Calon kapten pasukan Terengganu FC (TFC) baharu bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Lee Tuck akan dipilih dalam masa terdekat.
Pengendali skuad Penyu, Nafuzi Zain berkata pemilihan calon ketua pasukan tersebut hanya akan dibuat selepas beliau dapat mengumpulkan semua barisan pemainnya bagi musim 2021 dalam sesi latihan di padang.
“Dua pemain import, baru sahaja menyertai kami (TFC) dan kami tunggu tiga lagi pemain import dalam masa terdekat ini. Selepas kami mempunyai pemain yang lengkap dan jalani latihan bersama, dari situ kami lihat dan nilai siapa calon yang sesuai menggantikan Lee Tuck.
“Lagipun kita mempunyai pemain yang berpengalaman dalam kepimpinan, sama ada pemain import atau tempatan, jadi kita akan tengok siapa yang sesuai,” katanya pada sesi latihan TFC di Kompleks Sukan Gong Badak.
TFC sebelum ini telah memperkenalkan pemain baharunya iaitu bekas pemain skuad Tok Gajah Mohd Faisal Abdul Halim, bekas pemain UiTM FC Muhamad Arif Mohamed Anwar, bekas kapten UKM FC Asnan Ahmad dan bekas pemain Felda United Muhammad Azarul Nazarith Azhar.
Selain itu, skuad Penyu turut ‘memborong’ tiga pemain Kelantan iaitu Mohd Shahrul Nizam Ros Hasni, Nik Akif Syahiran Nik Mat dan Mohamad Hakimi Abdullah.
Skuad itu juga turut memperkenalkan dua daripada lima pemain import baharunya iaitu Petrus Shitembi, pemain berasal dari Namibia yang sebelum ini beraksi bersama pasukan Sabah serta Carli de Murga, bekas pemain pasukan Liga Satu Thailand, Chonburi FC, yang berasal dari Filipina dan berdarah kacukan Sepanyol.
[bernama]
Author Profile
Latest entries
Kabar LainDecember 22, 2021Peningkatan Paras Air di Sebahagian Shah Alam
Seni & HiburanDecember 22, 2021Uyaina Teruskan Majlis Nikah Walaupun Pelamin Tenggelam
EkonomiDecember 21, 2021Swift Haulage Berhasil Disenaraikan di Pasaran Utama
Top NewsDecember 21, 202117 Disahkan Terkorban Akibat Banjir di Selangor