Kartini Aboo Thalib: 'Jika Tersasul, Cepat Mohon Maaf' | Malaysia News

Kartini Aboo Thalib: ‘Jika Tersasul, Cepat Mohon Maaf’

Kartini Aboo Thalib: ‘Jika Tersasul, Cepat Mohon Maaf’

Kuala Lumpur, MTN – Isu ahli politik tersasul atau tersilap ketika membuat kenyataan tidak seharusnya diperbesar-besarkan, kata penganalisis politik.

Bagaimanapun, Prof Madya Kartini Aboo Thalib dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berpendapat mereka perlu segera memohon maaf sekiranya melakukan kesilapan tersebut.

Jelas beliau, ini bagi mengelakkan kesilapan itu menjadi bahan bualan atau jenaka orang ramai.

“Tersilap sebut bukanlah suatu kesalahan besar atau perlu diperbesar-besarkan, seeloknya mohon maaf secepatnya,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Menurut Dr Kartini, memang sifat manusia sukakan perkara kontroversi sehingga kadang kala ia dijadikan bahan lelucon.

“Jadi perkara itu harus dielakkan. Namun kesilapan kecil sehingga ditularkan atas nama kebebasan bersuara tidak seharusnya ldianggap lucu dan diperbesarkan,” katanya.

Dr Kartini berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan ahli politik yang dilihat tersilap atau tersasul ketika membuat sesuatu kenyataan.

Terdahulu, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba menerima kritikan warganet apabila mengatakan telah membuat sidang video secara langsung bersama 500 negara berkenaan isu Covid-19.

Kenyataan itu dibuat Adham ketika telesidang video bersama presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.

Kenyataan itu kemudian turut menjadi bahan jenaka di media sosial memandangkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hanya mempunyai 193 anggota.

Adham kemudian menjelaskan bahawa beliau tersalah sebut dan sebenarnya ingin mengatakan “500 peserta”.

Bukan cuma Adham, sebelum ini ramai pemimpin politik juga dilapor pernah tersasul ketika berucap atau bercakap dalam sidang media.

Antaranya bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad yang tersasul memanggil perwakilan Bersatu sebagai ahli Umno dalam perhimpunan agung tahunan parti itu.

Manakala Presiden PKR, Anwar Ibrahim juga pernah tersilap menyebut ’50 Januari’ dalam satu sidang media.

‘Hati-hati’

Sementara itu, pensyarah kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mohd Amirul Akhbar Mohd Zulkifli turut menasihati pemimpin supaya berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan.

Mohd Amirul Akhbar Mohd Zulkifli
Jelasnya, tindakan tersasul oleh ahli politik tidak akan menjejaskan kredibiliti mereka tetapi berisiko untuk hilang kepercayaan rakyat.

“[…] untuk masa akan datang adalah perlu memastikan angka ataupun rujukan terhadap sesuatu perkara atau isu disahkan kesahihan dahulu.

“Ini agar tidak mendatangkan kekeliruan khususnya kepada rakyat dan negara,” katanya.[MK]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply