Karya Filem Terbaik Akan Terima RM500,000 Dari FFM | Malaysia News

Karya Filem Terbaik akan Terima RM500,000 dari FFM

Karya Filem Terbaik

Karya Filem Terbaik akan Terima RM500,000 dari FFM

PETALING JAYA, MTN – Sebagai pemangkin semangat pembikin wayang, karya yang bakal diangkat sebagai Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-31, akan menerima Dana Kandungan Digital (DKD) bernilai RM500,000 selain trofi.

Mengumumkan ganjaran itu, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Zakaria Abdul Hamid, berkata agihan dana itu dibuat dengan mematuhi garis panduan ditetapkan dalam tatacara permohonan DKD sektor industri kreatif.

“FINAS sebagai penganjur FFM dengan sokongan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) bangga dan besar hati dapat bekerjasama menganjurkan FFM31.

“Justeru, untuk FFM31, hadiah DKD bernilai RM500,000 adalah antara pembaharuan yang kami lakukan.

“Ini tanda penghargaan kepada pasukan pembikin filem yang bersungguh-sungguh membuat pembaharuan sehingga mereka berjaya dinobatkan sebagai Filem Terbaik,” katanya pada sidang media FFM31 di Hotel Royal Chulan The Curve, di Mutiara Damansara di sini, Rabu (1/12/2021).

Yang turut hadir, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS, Prof Dr Md Nasir Ibrahim.

Malam kemuncak FFM31 akan diadakan di Dewan Plenari, Pusat Konvesyen Kuala Lumpur (KLCC) pada pada 10 Disember depan mulai jam 9 malam.

Zakaria berkata, hadiah DKD bernilai RM500,000 itu diperkenalkan bagi menggalak pembikin filem menghasilkan karya bermutu.

“Kita sedia maklum ada syarikat penerbitan yang memohon DKD sudah mengemukakan bajet tinggi untuk memastikan filem mereka berkualiti.

“Namun, apabila FINAS hanya menyediakan sebahagian daripada dana, mereka sudah mengurangkan bajet filem.

“Disebabkan itu, secara tidak langsung apabila bajet dikurangkan, kualiti filem terbantut,” katanya.

Zakaria berkata, ganjaran bernilai setengah juta ringgit itu adalah suatu galakan agar penerbit filem tempatan bersungguh-sungguh menyiapkan kandungan mengikut standard dikemukakan pada awalnya.

Tambahnya, FINAS berharap dana itu akan memberi semangat kepada pembikin filem untuk berkarya dengan mutu selaras matlamat projek Road To Oscars.

“Selain trofi, pemenang akan menerima hadiah wang tunai yang disumbangkan penaja sebagai tanda sokongan terhadap FFM31,” katanya.

Zakaria berkata, penganjur menerima 55 penyertaan filem cereka merangkumi filem Bahasa Malaysia sebanyak 32 judul; filem Tamil (11 filem), Mandarin (lapan filem) serta masing-masing dua filem Bahasa Inggeris dan bahasa Iban.

Semua filem ini bersaing merebut 28 kategori termasuk trofi utama, Filem Terbaik.

Zakaria berkata, fokus FFM31 bukan sekadar meraikan sektor kreatif, sebaliknya, menjadi platform satu suara antara kerajaan, karyawan filem dan rakyat dalam mendukung kecemerlangan industri.

“Sebagai medan pengiktirafan kepada pencapaian karyawan industri, FFM31 membuktikan manifestasi sinema Malaysia yang berinspirasikan keunikan dan variasi cerita.

“Ini termasuk identiti serta nilai tempatan dengan impak pembikinan dan tontonan sejagat merentas sempadan,” katanya.

Zakaria berkata, FFM31 dikendalikan mengikut norma baharu dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan kerajaan.

“Senarai pemenang hanya diumumkan pada malam anugerah bagi memberikan kelainan dan debaran menanti keputusan bagi semua kategori,” katanya.

Selain itu, program sampingan turut dianjurkan seperti sesi tayangan dan apresiasi filem di beberapa lokasi pawagam termasuk di Sabah dan Sarawak.

FINAS turut menjayakan program webinar dengan pelbagai pengisian dan panel hebat dari dari dalam dan luar negara.

Zakaria turut berterima kasih kepada Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) yang menjadi rakan strategik FINAS mempromosikan FFM31.

Antara filem bersaing adalah Pusaka, Ennaval, Geran, KL Vampires, Sangkar, Anak Perjanjian Syaitan, Upin & Ipin : Keris Siamang Tunggal, Mimaland, Rock 4 : Rockers Never Dai, Ejen Ali The Movie, Ada Apa Dengan Dosa, Roh dan lain-lain.

Mengangkat tema Citra Sinema, FFM31 akan disiarkan secara langsung TV2.

 

[BH]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply