Kenapa Perlu Bentuk Pakatan Lepas Pilihan Raya | Malaysia News
December 14, 2024

Kenapa Perlu Bentuk Pakatan Lepas Pilihan Raya

Kenapa Perlu Bentuk Pakatan Lepas Pilihan Raya

Kenapa Perlu Bentuk Pakatan Lepas Pilihan Raya

Kuala Lumpur, MTN – Buat sekian kalinya, arena politik negara digegarkan dengan perkhabaran akan wujud sebuah pakatan politik baru, melibatkan gabungan Pakatan Harapan (PH) bersama Umno. Perkembangan ini tentunya menarik minat penganalisis dan pemerhati politik negara serta menjadi buah mulut orang ramai.

Perkembangan ini membuktikan betapa longgarnya ikatan sesebuah pakatan politik di negara ini, yang dengan sekelip mata lawan menjadi kawan, sahabat menjadi musuh.

Kita dapat lihat kelonggaran ikatan tersebut pasca pilihan raya umum ke-14 (PRU-14), yang BN, pakatan politik 13 parti yang memerintah negara selama 45 tahun, hampir berkubur selepas sembilan parti membuat keputusan untuk keluar daripada pakatan tersebut. Daripada 13 parti, hanya empat parti sahaja yang masih kekal dalam gabungan tersebut.

Lebih mendukacitakan buat BN, sebelum anggota parlimen mengangkat sumpah pada hari perasmian parlimen ke-14, BN telah hilang 23 anggota parlimen.

Lebih mengejutkan, nasib yang dialami PH, hilang keabsahan kerajaan 22 bulan selepas berjaya menumbangkan BN. Belum ada lagi sebuah jawapan yang tuntas bagaimanakah sebuah pakatan politik yang teguh berdepan segala cabaran dan rintangan menghadapi pilihan raya umum, dan menang, boleh rebah dan dilihat begitu goyah sekali sepanjang memerintah.

Begitu juga apa yang di alami oleh Muafakat Nasional, pakatan politik PAS bersama Umno. Gabungan ini begitu garang mencabar dan berikrar menjadi “semak imbang” pemerintahan PH. Muafakat Nasional juga dilihat berpotensi memenangi pilihan raya umum ke-15, setelah menewaskan PH di pilihan raya kecil Semenyih, Cameron Highlands dan menang besar di Tanjung Piai.

Gabungan yang lantang menuntut pilihan raya diadakan segera, seolah terkubur selepas terlibat menubuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pasca Langkah Sheraton. Pasca PRU-14 ini kita dapat melihat gabungan politik di negara ini seolah-olah mempunyai satu tema yang sama iaitu, kukuh ketika menjadi pembangkang, goyah apabila memerintah.

Kerapuhan pakatan politik: Politik demografi

Apakah sebabnya kerapuhan ini? Saya menuding jari kepada politik demografi. Sebilangan besar parti politik di negara ini menyasarkan penyokong dan pengundi berdasarkan kaum. Formula politik demografi adalah formula yang diguna sejak pilihan raya umum Persekutuan pertama tahun 1955, yang dimenangi Parti Perikatan. Formula ini turut digunakan oleh PH untuk memenangi PRU-14

Sebagai contoh, gabungan politik Pakatan AB terdiri daripada Parti A dan Parti B. Parti A adalah parti Melayu yang mensasarkan pengundi Melayu Islam, Parti B pula merupakan parti berbilang kaum yang mensasarkan pengundi di kawasan bandar dan separa bandar. Untuk Parti B memperoleh undi pengundi Melayu Islam di kawasan yang ditandinginya, bantuan “sumber luar” daripada Parti A diperlukan semasa berkempen untuk mengolah persetujuan. Ada yang mengistilahkan ini sebagai “outsourcing”.

Menjelang pilihan raya umum, segala isu Melayu Islam akan dijawab dan ditangani oleh Parti A. Parti B pula akan mencadangkan dasar-dasar baru yang progresif lagi inklusif untuk semua. Maka Pakatan AB dilihat sebagai sebuah gabungan politik yang dapat memenuhi kepentingan setiap demografi dan berpeluang cerah untuk memenangi pilihan raya lantas membentuk kerajaan.

Masalah mula timbul selepas memenangi pilihan raya. Ada demografi yang merasakan kepentingan mereka tidak diuruskan, maka muncul desakan demi desakan, sehingga mempengaruhi tumpuan dan kualiti pemerintahan gabungan parti yang memenangi pilihan raya.

Amatlah sukar untuk menafikan keampuhan formula politik demografi untuk memenangi pilihan raya di negara ini. Namun, pengalaman pemerintahan 22 bulan PH membuktikan betapa sukarnya untuk menguruskan kepentingan demografi di era media sosial. Tambahan pula formula ini mengukuhkan lagi pandangan bahawa politik di negara ini adalah berdasarkan demografi kaum dan kepentingan komunal, bukan ideologi politik jauh sekali politik nilai.

Oleh itu, apa yang kita lihat selama ini adalah pakatan politik untuk memenangi pilihan raya, bukanlah pakatan untuk memerintah negara.

Jalan ke hadapan

Sudah tiba masanya kita meninggalkan formula lapuk politik demografi. Tambahan pula menghadapi norma baru kehidupan pascapandemik, parti yang memerintah harus memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap kemakmuran dan kesejahteraan rakyat dan negara. Tentunya menghadapi norma baru kehidupan pasca pandemik dan krisis iklim, tumpuan tersebut amat ditagih.

Parti pembangkang pula harus menjadi semak imbang yang berkesan terhadap dasar-dasar yang dilaksanakan pemerintah. Bukan memainkan momok kaum dan agama demi kepentingan politik kepartian dan menggagalkan segala usaha baik pemerintah.

Jalan ke hadapan adalah, parti-parti politik di negara ini bertanding secara bersendiri dalam pilihan raya umum, dan membentuk sebuah pakatan politik atau kerajaan gabungan untuk memerintah negara selepas pilihan raya umum seperti kebiasaan amalan negara-negara demokrasi Westminister dan tradisi pakatan politik di Jerman. Berunding setelah keputusan pilihan raya diumumkan!

Dengan ini setiap parti harus memenangi undi setiap demografi untuk mencatatkan kemenangan di pilihan raya. Tidak lagi menggunakan formula lapuk politik demografi dan sistem “outsourcing”.

Kerajaan campuran Parti Konservatif dan Parti Liberal Demokrat United Kingdom yang ditubuhkan selepas pilihan raya umum 2010, negara itu boleh dijadikan contoh. Keputusan pilihan raya umum 2010 di United Kingdom memperlihatkan Parti Konservatif memperoleh kerusi terbanyak namun tidak mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Ini menyebabkan House of Commons tergantung, pertama kali semenjak pilihan raya umum 1974. Maka Parti Konservatif memulakan perbincangan dengan Parti Liberal Demokrat, parti yang memenangi kerusi ketiga terbanyak, untuk membentuk sebuah kerajaan gabungan. Setelah mencapai persetujuan, kedua-dua parti memeterai sebuah dokumen perjanjian tujuh muka surat yang mengandungi 11 bahagian.

Dokumen tersebut bukan sahaja penting untuk memastikan keutuhan kerajaan gabungan tersebut, malah ia menggariskan dasar-dasar dan program-program penting pemerintahan lima tahun kerajaan gabungan parti Konservatif dan Liberal Demokrat.

Saya yakin, jika parti-parti politik di negara ini bertanding secara bersendiri, maka perbalahan melelahkan saban tahun mengenai calon perdana menteri sesebuah gabungan politik dapat dihentikan. Ini kerana, tentunya ketua sesebuah parti adalah calon perdana menteri. Ketua parti yang memenangi kerusi terbanyak tentulah berada dalam kedudukan terbaik untuk mengangkat sumpah menjadi perdana menteri.

Lebih penting lagi, parti-parti politik tidak perlu lagi mencurahkan segala masa dan tenaga membina naratif baru serta menerangkan kepada anggota parti tentang keputusan kepimpinan tertinggi untuk membina gabungan dan pakatan baru. Ini termasuk turun padang, menjelaskan kepada pengundi bagaimana lawan menjadi kawan, dan sahabat kini menjadi musuh.

Parti-parti politik dan pengundi dapat memberikan tumpuan penuh terhadap usaha mengetengahkan isu-isu serta mengangkat dasar-dasar baru yang penting demi memastikan kesejahteraan rakyat dan negara.
___________________________________________________
HADI KHALID merupakan pemerhati demokrasi berparlimen Malaysia dan pengarah program Nadi Centre,

Facebook Comments

Author Profile

Anand Pavit

About The Author

Leave a Reply