Kerajaan Digesa Pertimbang Keputusan Tolak Pelarian Rohingya
Kerajaan Digesa Pertimbang Keputusan Tolak Pelarian Rohingya
Kuala Lumpur, MTN – Beberapa NGO menggesa kerajaan supaya mempertimbangkan keputusan untuk tidak lagi menerima pelarian Rohingya ke negara ini.
NGO hak migran Tenaganita berkata sangat penting bagi Malaysia untuk membincangkan perkara tersebut dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) bagi mendapatkan penyelesaian sementara.
Pengarah eksekutifnya, Glorene A Das juga merayu supaya kerajaan tidak menghantar orang Rohingya pulang ke Myanmar atau ke kem pelarian di Bangladesh kerana pelarian tersebut akan sekali lagi terperangkap dalam modus operandi yang melibatkan pemerdagangan manusia.
“Ya sekarang memang ada pihak yang menggesa untuk hantar mereka (Rohingya) pulang, tetapi dalam keadaan pandemik kini ia bakal menyukarkan proses tersebut.
“Jadi penting buat kerajaan untuk bekerjasama dengan UNHCR bagi mendapatkan penyelesaian sementara,” katanya.
Selain itu, Glorene turut mempersoalkan mengapa kerajaan Malaysia tidak mengadakan perbincangan bersama Myanmar dan mendakwa Asean telah ‘menutup mata’ atas tindakan zalim negara itu.
“Mengapa kerajaan Malaysia tidak bercakap dengan kerajaan Myanmar tentang tanggungjawab mereka terhadap orang Rohingya dan di mana Asean?
“Asean seperti tutup mata tentang isu kekejaman Myanmar terhadap Rohingya.
“[…] pada masa yang mencabar kini, kita harus tetap bersatu padu dan bantu orang Rohingya dari memusnahkan mereka melalui tindakan kita,” katanya lagi.
Bangladesh enggan terima
Pada 8 Jun lalu, sebuah bot yang membawa seramai 269 pelarian Rohingya ditahan pihak berkuasa polis Marin dan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) ketika cuba memasuki perairan Langkawi.
Pelarian terbabit terdiri daripada 80 lelaki, 138 perempuan, 26 kanak-kanak lelaki dan 23 kanak-kanak perempuan.yang dipercayai menempuh perjalanan selama hampir empat bulan dari kem pelarian Cox’s Bazar di Bangladesh.
Bagaimanapun, atas dasar kemanusiaan, Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah membenarkan bot berkenaan ditunda ke Jeti Teluk Ewa Langkawi. Kesemua 269 orang pelarian itu kini ditahan dan diletakkan sementara di Kem Bina Negara Wawasan Langkawi.
Sehubungan itu, Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob semalam menegaskan bahawa kerajaan tidak akan lagi menerima pelarian Rohingya yang menceroboh masuk ke negara ini, sebaliknya akan menghantar mereka pulang ke negara Bangladesh.
“Jadi di sini kerajaan menegaskan tidak lagi menerima pelarian-pelarian ini dan kami akan berbincang dengan negara terlibat untuk urusan penghantaran pulang.
“Kerajaan lebih selesa jika negara-negara ini dapat menerima pelarian Rohingya dari Malaysia,” katanya.
Bagaimanapun, Bangladesh pula menegaskan bahawa pihaknya menolak untuk menerima semula 269 pelarian Rohingya yang ditahan pihak berkuasa Malaysia.
Menteri Luar Bangladesh, AK Abdul Momen menyeru negara-negara lain turut sama menerima pelarian Rohingya dan beban itu bukan hanya perlu ditanggung Bangladesh sendirian.
“Kita mengalu-alukan negara lain mengambil mereka dan memindahkan seramai 1.1 juta Rohingya yang kini berlindung sementara di Bangladesh,” kata Momen.
Bagaimanapun, ketika fasa awal perintah kawalan pergerakan, Ismail berkata polis sedang menyiasat lonjakan sentimen negatif secara tiba-tiba yang ditujukan kepada masyarakat Rohingya di Malaysia.
Ismail pada 27 April lalu mengakui beliau hairan mengapa isu kedatangan Rohingya itu tiba-tiba dibangkitkan, sedangkan kedatangan mereka sebelum ini telah mendapat simpati dari Malaysia ekoran pelbagai musibah yang ditimpa mereka seperti dibakar hidup-hidup dan dibunuh dengan kejam.
Walaupun berita mutakhir melaporkan tindakan keras terhadap pendatang asing dan pelarian tanpa dokumen, ratusan orang Rohingya masih terus mempertaruhkan nyawa mereka untuk sampai ke perairan Malaysia.
Mengulas hal ini, Timbalan Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) Badlishah Sham Baharin memberitahu Malaysiakini kerajaan tidak wajar untuk menolak pelarian Rohingya.
Jelasnya, pelarian berkenaan kemungkinan dapat membantu dalam menaikkan ekonomi negara daripada segi sumbangan mereka dalam pekerjaan sektor buruh.
“Kalau kita lihat misalnya, mereka (pelarian Rohingya) jika kita masukkan dalam ekonomi negara, ada kemungkinan ekonomi melonjak dengan sumbangan dan kepakaran mereka,” katanya.
Tambah Badlishah, beliau tidak menafikan terdapat pelarian yang melakukan kegiatan jenayah, namun tidak wajar untuk menghukum kesemua pelarian.
“Kita tak nafikan ada di antara mereka terlibat dalam kegiatan jenayah tetapi itu pun tak semua.
“Jadi tak wajar untuk kita hukum semua, tak semua yang buat benda macam itu dan yang tidak terlibat ini mungkin mereka ada peluang untuk bantu kerajaan,” katanya lagi.
Sehingga 7 Jun, National Task Force yang terdiri daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), APMM dan beberapa agensi lain telah menahan 396 pendatang asing, 108 tekong dan 11 penyeludup.
Sementara itu, seramai 140 pendatang asing, enam tekong dan 22 kapal diusir ketika cuba menceroboh sempadan negara.
Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi NGO Gerakan Pembela (Ummah) Mohd Zai Mustafa menjelaskan bahawa pihaknya yakin dengan keputusan kerajaan untuk tidak lagi menerima pelarian Rohingya.
Ambil kira keselamatan rakyat dalam negara
“Malaysia pada awalnya telah menerima pelarian Rohingya dibawah program UNCHR atas dasar perikemanusiaan dan solidariti membantu sesama ummat Islam yang tertindas dan bukanlah merupakan satu polisi khusus tetapi lebih kepada budibicara kemanusian oleh kerajaan.
“Walau bagaimana pun penerimaan ini bukanlah merupakan polisi tetap negara, tetapi boleh berubah berdasarkan keutamaan dan kepentingan umum keselamatan negara.
“Ummah yakin keputusan yang dibuat oleh kerajaan semalam yang tidak menerima pelarian Rohingya adalah satu keputusan yang telah mengambil kira kepentingan umum yang menyeluruh berdasarkan undang-undang negara, kepentingan dan keselamatan rakyat dalam negara yang tidak boleh dipertikaikan berdasarkan situasi wabak Covid 19 pada hari ini,” katanya.
Bagaimanapun, Mohd Zai menambah, bahawa kerajaan harus mengkaji semula keputusan yang dibuat sekiranya nyawa pelarian tersebut berada dalam keadaan bahaya jika dihantar pulang ke negara asal mereka.
“Jika sekiranya pelarian ini dikembalikan semula ke negara asal dan akan menyebabkan mereka kehilangan nyawa.
“Maka adalah perlu bagi kerajaan Malaysia mengkaji semula keputusan yang dibuat untuk memberi perlindungan nyawa kepada pelarian Rohingya ini walaupun terpaksa membenarkan mereka menetap sementara di sini,” katanya lagi.[mk]
Author Profile
Latest entries
- NationalAugust 25, 2021Fokus PRU15, Bukan Kerusi Pengerusi PH Atau Ketua Pembangkang
- NationalAugust 25, 2021Hadi Awang: Taliban dah Berubah, Jangan Percaya pada Media Jahat
- NationalAugust 25, 2021Menjelang Pengumuman Kabinet, Ulama Pas: Jangan Sesiapa Jadi ‘Abang Long’
- PolitikAugust 25, 2021Puad: Lantik Azmin Ali Sebagai TPM Umpama Bunuh Diri