Kerajaan Pintu Belakang Membelakangi Rakyat
Kerajaan Pintu Belakang Membelakangi Rakyat
Kuala Lumpur, MTN – Dalam Islam, agama menuntut umatnya memasuki rumah melalui pintu hadapan kerana ia menggambarkan adab yang tinggi, selain menghormati tuan punya rumah.
Perubahan kerajaan baru-baru ini menyaksikan Umno-PAS dan Muhyiddin Yassin bukan hanya memasuki ‘rumah rakyat’ melalui pintu belakang, malah salam pun tidak diberi.
Mereka memasuki rumah itu secara senyap-senyap.
PAS – yang mendakwa sebuah parti Islam – sebaliknya melakukan pengkhianatan yang sama seperti dilakukan Umno kepada mereka di Perak dulu. Ia adalah rampasan kuasa tanpa pilihan raya.
Hari ini, apa yang ‘dihukumkan’ PAS dahulunya sebagai haram, mereka pula melakukannya, malah ia dilakukan bersama-sama parti yang menumbangkan mereka di Perak dahulu.
Kalau dahulu PAS berkata mereka hendak membimbing Umno cara Islam, nampak gaya realiti hari ini, Umno pulalah mengajar PAS bagaimana merampas kerajaan melalui jalan belakang.
Umno memimpin, PAS mengikut.
Sudah seminggu Muhyiddin Yassin dilantik menjadi perdana menteri tetapi kabinet masih belum menjelma walaupun Malaysia – dan dunia menghadapi ancaman wabak Covid -19 yang berbahaya.
Bukan hanya itu, agensi yang sedia ada – seperti Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) pula digantung, tidak dibenarkan berfungsi dan elaun anggotanya pula dihentikan ketika ramai yang tidak mempunyai pekerjaan.
Terbukti bertugas dengan baik
Kini bukan saja rakyat yang keliru dengan rampasan kuasa pintu belakang tetapi, malah keadaan ditambah menjadi parah apabila struktur organisasi masyarakat di peringkat akar umbi pula di gantung tanpa sebab.
Di negara lain organisasi peringkat akar umbi ditingkatkan dan dimantapkan lagi bagi menghadapi ancaman seperti Covid -19, tetapi di Malaysia – atas sebab politik pintu belakang – kita pun mengambil langkah ke belakang.
Negara maju seperti Jepun, AS dan Korea Selatan pun bermasalah menghadapi virus tersebut, tetapi Malaysia bertindak sebaliknya dengan mengambil langkah tidak bertanggung jawab serta angkuh demi kerakusan politik.
Hari ini Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong menyatakan kebimbangan baginda tentang 28 kes baru Covid-19 dan meminta orang ramai memberi kerjasama kepada Kementerian Kesihatan menangani serta menyiasat kes berkenaan.
Baginda menunjukkan keprihatinan terhadap kebajikan rakyat.
Malangnya selepas begitu lama perdana menteri masih belum boleh melantik seorang menteri kesihatan, apa lagi anggota kabinet.
Amat menyedihkan apabila Muhyiddin tidak menunjukkan keprihatinan yang sama ke atas keselamatan rakyat seperti Agong kerana terlalu asyik dengan perebutan jawatan politik dalam Perikatan Nasionalnya.
Ramai yang meminta bekas Dr Dzulkefly Ahmad dilantik semula menteri kesihatan interim kerana beliau terbukti menjalankan tugasnya dengan baik sebelum ini bagi menangani Covid-19.
Ada berpuluh kes mahkamah
Namun di sebalik desakan itu kerajaan Muhyiddin masih membisu.
Walaupun ada pegawai kanan Khazanah dijangkiti virus tersebut dan kelihatan bergaul bebas dalam kalangan pegawai lain, tiada arahan kuarantin atau pengasingan diketahui diarahkan.
Malaysia kini kelihatan tidak ada pemimpin nasional yang boleh mengemudi negara dengan tiadanya lagi kabinet, dan persidangan parlimen pula ditangguh dua bulan lagi, sementara orang Muhyiddin, Umno dan PAS sedang berebut jawatan.
Negeri Melaka, Perak dan Kedah masih bergolak dengan perebutan kesan kerajaan pintu belakang. Akhirnya yang menjadi mangsa ialah rakyat.
Inilah akibatnya rampasan kuasa pintu belakang oleh mereka melalui usahasama dengan ‘penyamun serta perompak’ yang mendahulukan nafsu.
Ia berlaku ketika orang ramai mengetahui bahawa pemimpin kanan Umno – seperti Najib Razak, Ahmad Zahid Hamidi dan Tengku Adnan Tengku Mansor – berdepan dengan berpuluh-puluh kes rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.
Apabila Tengku Adnan memberitahu beliau mempunyai aset sebanyak hampir RM1,000,000,000 (atau satu bilion) ia memberi gambaran bahawa mereka sebenarnya mendahulukan diri sendiri, bukannya rakyat yang dibelakangkan.
Bagi mereka yang makin keliru dengan pergerakan serta penghijrahan ahli politik dari satu parti kepada parti lain demi kuasa, saya ingin menyeru mereka bersabar.
Pada masa sama mereka wajar menolak orang yang sebegitu dan memilih parti yang stabil dan dipimpin oleh tokoh yang berprinsip teguh.
Alhamdullilah sehingga kini Amanah yang bersama Pakatan Harapan (PH) kelihatan paling stabil dan berpegang teguh dengan prinsip perjuangan kami.
Kami mengalu-alukan sesiapa saja yang ingin bersama Amanah untuk berjuang di atas dasar Rahmatan Lil Alamin – atau rahmat untuk semua.
Kerajaan yang dibina melalui pintu belakang tidak akan ada keberkatan, sebaliknya apa yang lebih banyak terpapar ialah kelemahan demi kelemahan seperti kegagalan membentuk Kabinet, penangguhan sidang parlimen, penggantungan MPKK dan kelemahan menangani wabak virus Covid 19.
Kerajaan Muhyiddin patut mengambil berat dan mencotohi keprihatinan tulen Agong dalam menjaga keselamatan rakyat menangani ancaman serius Covid-19 di Malaysia.
Rakyat Malaysia menyanjung tinggi keprihatinan Agong.
Pada masa sama rakyat Malaysia ingin melihat kerajaan berfungsi dengan baik dan prihatin bagi menghadapi isu-isu kritikal negara tanpa mementingkan politik dalaman dan perebutan kuasa sesama sendiri.
Laksanakanlah tanggungjawab sebaiknya untuk rakyat dengan kuasa yang telah di perolehi. Malangnya di bawah kerajaan PN, pemimpin pintu belakang didahulukan, rakyat dibelakangkan.
_______________________________________________________________________RAJA KAMARUL BAHRIN SHAH RAJA AHMAD ialah anggota Dewan Negara dan pengerusi PH Terengganu.
Author Profile
Latest entries
- NationalAugust 25, 2021Fokus PRU15, Bukan Kerusi Pengerusi PH Atau Ketua Pembangkang
- NationalAugust 25, 2021Hadi Awang: Taliban dah Berubah, Jangan Percaya pada Media Jahat
- NationalAugust 25, 2021Menjelang Pengumuman Kabinet, Ulama Pas: Jangan Sesiapa Jadi ‘Abang Long’
- PolitikAugust 25, 2021Puad: Lantik Azmin Ali Sebagai TPM Umpama Bunuh Diri