Walaupun Badai, PKR Kekal Solid | Malaysia News

Walaupun Badai, PKR Kekal Solid

Walaupun Badai, PKR Kekal Solid

Kuala Lumpur, MTN – PKR bukan parti setahun jagung. Parti ini sudah berusia dua dekad—dan sepanjang itu juga, parti ini sudah mengakar ke bawah. Semakin hari, akarnya semakin kuat.

Saya menghubungi beberapa kawan yang saya kenal rapat dengan pemimpin yang mengkhianati parti. Saya tanyakan, apakah mereka juga akan keluar meninggalkan parti demi mengikuti jejak sang pemimpin berkenaan?

Jawapan mereka, lebih kurang begini adanya, “Aku sudah lama di dalam PKR dan perjuangan. Di sini nasib aku sudah pasti susah dan senang. Di sana ada naga-naga besar. Terutamanya dari Umno. Aku tak fikir kita akan selamat.”

Ketika krisis politik tercetus sejak “Langkah Sheraton”, saya membayangkan wajah beberapa kawan yang bakal ‘pergi’ meninggalkan parti. Tidak semuanya jahat. Kesilapan mereka mungkin satu, taasub mengikuti segelintir pemimpin yang akhirnya membuat keputusan terjun ke gaung. Mereka ikut sekali.

Pengkhianatan yang sebenarnya bukan sangat kepada PKR, tetapi kepada rakyat. Sedangkan mereka menang di dalam pilihan raya umum (PRU) lalu juga dengan tiket PKR.

Tatkala saya mendengar jawapan ramai kenalan dan sahabat untuk terus kental bersama parti, saya kagum. Kekaguman itu timbul apabila memikirkan bahawa di saat mereka terpaksa memilih antara taat kepada individu yang barangkali sudah menjadi kenalan, keputusannya adalah kekal bersama parti. Meski tidak ada habuan.

“PKR ini sudah seperti keluarga kita,” tambahnya lagi. Sekali lagi, tidak ada sedih. Atau ragu.

Sebagai sebuah parti, PKR tidak bersalah apa-apa. Parti ini tetap sebagai parti dengan 17 tujuan dan matlamat perjuangan. Pemimpin datang dan pergi. Tetapi parti kekal. Noktah!

Kekal bersama parti bererti kekal kepada tujuan dan matlamat perjuangannya. PKR tidak dapat dinafikan merupakan parti yang berasaskan Melayu, tetapi insklusif dan terbuka—tidak ada ‘parti Melayu’ yang terbuka seperti PKR: menerima kaum dan bangsa-bangsa lain sebagai satu pasukan perjuangan. Sebagai sebuah keluarga. Sebagai warga bernegara. Bersama-sama.

Itulah ‘iman’ orang PKR. Dengan yang demikian, PKR tidak lain adalah sebuah parti nasionalis: yang mahu membentuk negara tanpa prejudis agama dan bangsa. Solid dan bersatu. Parti yang menerima kenyataan bahawa Malaysia adalah negara berbilang kaum, maka perlu ditangani dengan cara berbilang kaum juga.

Pemimpin boleh ditegur

Sekiranya ada orang lama yang melompat ke dalam PAS, atau Umno, pasti dia akan sukar untuk memujuk hatinya bagi menerima dasar parti satu kaum. Mujur sahaja beberapa individu yang keluar parti, alasan mereka hanyalah, “hilang kepercayaan kepada pucuk pimpinan parti.”

Alasan itu membuktikan sesungguhnya mereka tidak menghayati dasar perjuangan PKR. PKR tidak pernah terikat kepada pemimpin. Sekalipun pemimpin melakukan kesilapan, selagi mana dia duduk berada di dalam parti, teguran tetap dibolehkan. Tidak perlu keluar dan meninggalkan dewan.

Bahkan tanpa ragu, PKR parti yang paling meraikan demokrasi. Pemimpin boleh ditegur sehinggakan parti-parti lain melihatnya dengan pandangan yang aneh. Bagi mereka, sekiranya teguran seumpama berlaku dalam parti mereka, sudah lama anggota yang mengkritik, dipecat!

Tian Chua, misalnya. Di dalam Kongres Nasional 2019 di Melaka tahun sudah, beliau mengkritik pimpinan parti begitu lantang. Tidak cukup di dalam dewan kongres, di luar Tian dilihat pula bersama di dalam kelompok yang menyerang terang-terangan ‘kelemahan’ kepimpinan parti, meski pun mereka sebahagian daripada kepimpinan itu sendiri.

Tian tidak dipecat.

Saya sendiri pernah menerima surat amaran daripada parti tiga tahun lalu disebabkan sebuah tulisan—yang bagi saya sebagai pandangan peribadi—di FB. Surat amaran itu dihantar dengan tangan terus ke rumah saya di kampung.

Setiap ahli politik, sudah tentu ada waktu di dalam jejak politiknya, akan mengkritik pimpinan. Dr Mahathir Mohamad pernah melakukannya. Anwar Ibrahim juga pernah begitu.

Namun di saat teguran dan kritikan dibuat, kita tidak pernah lupa kepada teras perjuangan. Lebih-lebih lagi apabila kita percaya bahawa PKR merupakan parti terbaik untuk wajah sebuah Malaysia. Bukan sahaja Malaysia hari ini, tetapi Malaysia masa depan. Dan kerana itulah, Keadilan selalu dicemburui.

Bagi sahabat-sahabat atau saudara-mara yang masih belum terlajak perahu, masih tidak hangus dadanya dibakar api kemarahan, kebencian dan dendam, fikirkanlah kembali, mengapa kita menyertai PKR?

Selalu ada orang bilang, PKR tidak habis-habis berjuang untuk Anwar menjadi perdana menteri!

Bagi saya, memanglah sebuah parti yang kuat akan mahu menjadikan ketuanya sebagai PM. Umno juga begitu. Selama lebih enam puluh tahun, Umno juga berjuangan untuk menjadikan presidennya sebagai PM. Mengapa tidak pernah dipersoalkan?

Tikam belakang, bukan kalah

Hanya parti yang kuat sahaja boleh memperjuangkan dirinya sendiri. PAS, misalnya, tidak berdaya untuk mengangkat presidennya sebagai calon PM kerana kelemahanya sendiri. Kelemahan itu makin jelas apabila PAS terpaksa bersetuju dengan Bersatu (aliran Muhyiddin Yassin) untuk mengangkat Muhyiddin sebagai PM. Presidennya hanya mahu memancing sahaja.

Perjuangan PAS hari ini nampaknya tidak lebih sebagai “Asal bukan Anwar.” Nah! Betapa kecilnya jiwa mereka.

Di sinilah rakyat, lebih-lebih lagi orang Melayu, pasti dapat melihat perbezaan besar sifat PAS berbanding PKR, mana satu yang lebih boleh digantung harap dan berkeyakinan. Bukan kerana dendam atau cemburu yang bukan-bukan.

Di dalam politik, ribut pasti datang. Apabila ribut itu berlalu, halaman rumah akan sedikit berselerak. Perlulah dikemas semula. Hanya apa yang selalu kita lupakan, dari ribut dan cabaran itu jugalah, keluarga PKR akan semakin kuat.

Kita juga perlu bersyukur ke hadrat illahi kerana pembelotan ke atas parti dilakukan ketika pilihan raya umum (PRU) masih jauh. Masih ada masa membaiki sedikit-sebanyak kerosakan yang ditinggalkan.

Di situlah kita melihat, sesungguhnya ada baris doa di kalangan anggota parti yang ikhlas dan di antara rakyat biasa, yang dimakmulkan Tuhan. Demi tanah air ini.

Bangun. PKR berjuang. PKR solid. Bersama Pakatan Harapan, kita ditikam daripada belakang. Bukanlah kalah.


HASMI HASHIM atau Budi Hekayat seorang penulis lirik dan otai komuniti Jalan Telawi.

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply