'Kerugian Besar Buat Negara Jika Mohamad Ariff Disingkir' | Malaysia News

‘Kerugian Besar Buat Negara Jika Mohamad Ariff Disingkir’

‘Kerugian Besar Buat Negara Jika Mohamad Ariff Disingkir’

Kuala Lumpur, MTN – Semalam ialah Hari Parlimen Sedunia. Ia merupakan pengiktirafan terhadap sebuah institusi yang berasaskan suara rakyat yang wujud sejak berdekad-dekad lamanya.

Ia suatu pengiktirafan dunia, bukan hanya di peringkat desa, kota, bandar raya atau negara. Ia bukan sekadar simbol demokrasi tetapi pelantar untuk menggubal undang-undang yang memberi kesan kepada rakyat dan negara.

Sebagai satu daripada tiga cabang kuasa, parlimen berfungsi sebagai badan semak dan imbang kepada cabang eksekutif, terutama dari segi penggunaan dana dan kuasa.

Ia juga tempat rakyat boleh menilai ketelusan, kebertanggungjawaban, keamanahan dan kesungguhan pemimpin mereka – sama ada wakil rakyat, menteri atau timbalan menteri – untuk mewakili mereka.

Tetapi hari ini Parlimen Malaysia seolah-olah jumud semula setelah bangkit segar seusai pilihan raya umum (PRU) ke-14 lalu. Ia berlaku ketika parlimen negara lain terus berfungsi meskipun terhad akibat penularan Koronavirus.

Ia kerana negara dilanda kemelut institusi demokrasi dan pemerintahan. Sidang parlimen tertangguh beberapa bulan akibat berlakunya peralihan kuasa.

Ia kemudian dilaksanakan pada 18 Mei 2020 untuk hanya kurang lebih sejam di sebalik wabak Covid-19 serta kebimbangan kejatuhan semula kerajaan kerana adanya undi tidak percaya terhadap perdana menteri.

Pakar perlembagaan berkata sidang parlimen satu hari tersebut “sah” daripada segi perlembagaan tetapi dikesali dari sudut keabsahan demokrasi dan kewajaran politik.

Ramai yang berpendapat bahawa fungsi parlimen untuk meneliti undang-undang dan dasar kerajaan terutama yang melibatkan pakej rangsangan ekonomi yang amat besar peruntukannya wajib diteruskan. Antara lain supaya setiap perbelanjaan dapat diketahui sumbernya, kaedah perolehannya, cara penyampaiannya, golongan sasarnya, ciri-ciri semakan atau audit dan ukuran keberkesanan.

Malah, PBB dan Kesatuan Antara Parlimen Dunia (IPU) sendiri mengakui bahawa semasa krisislah peranan parlimen menjadi lebih penting, antara lain untuk meluluskan undang-undang darurat, pengagihan sumber dan pemantauan tindakan kerajaan.

Tiang seri negara demokrasi

Sesetengah parlimen telah dan sedang meminda undang-undang dan peraturan untuk membenarkan bekerja secara jarak jauh, secara bersemuka, parlimen digital atau cara-cara lain.

Pokok pangkalnya, parlimen tetap boleh menggubal undang-undang, berbahas dan menyemak tindakan kerajaan pada ketika perintah kawalan pergerakan atau penjarakan sosial.

Persoalannya sekarang: Apakah hala tuju parlimen dalam keadaan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang rapuh? Bolehkah parlimen berfungsi menurut peranan dan amanah yang dipertanggungjawabkan?

Menurut Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim, kerajaan yang ada pada hari ini bukan hanya tidak ada keabsahan malah terus-terusan menginjak setiap aspek demokrasi, termasuk terus mengelak untuk mengadakan sidang Dewan Rakyat.

“Amatlah wajar untuk kita terus menggesa kerajaan hari ini mengadakan sidang parlimen sesegera mungkin dan menjunjung tinggi institusi itu sebagai tiang seri demokrasi dan negara hukum,” tegasnya lagi.

Untuk rekod, sidang parlimen akan datang – seperti dimaklumkan oleh Setiausaha Dewan Rakyat pada 12 Jun lalu – ialah pada 13 Julai hingga 27 Ogos.

Menambah kekusutan kepada parlimen ialah apabila beberapa hari lepas disahkan terdapat usul untuk menukar speaker dan seorang daripada timbalan speaker Dewan Rakyat. Usul tersebut dibawa oleh perdana menteri sendiri.

Hari ini keluar pula laporan media yang mendakwa bakal pengganti yang dicadangkan ialah Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun. Dilaporkan beliau telah meletak jawatannya dalam SPR.

Apakah agenda di sebalik pertukaran begini?

Jamin kebebasan, kewibawaan

Saya tahu ada yang menyokong langkah pertukaran berkenaan, dan ada yang membidasnya. Yang menyokong berhujah bahawa ia selari dengan berlakunya perubahan kerajaan dan “parliamentary convention” atau budaya parlimen.

Yang membidas pula mengatakan ia tidak mengikut Perlembagaan Persekutuan dan melanggar doktrin pemisahan kuasa, malah usul tersebut didakwa sebagai langkah untuk mengelak usul undi tidak percaya terhadap perdana menteri.

Saya tidak mahu mengulas dari aspek undang-undang atau budaya parlimen. Saya ingin berhujah daripada aspek kewibawaan dan kepentingan institusi parlimen.

Kelmarin, saya dan rakan saya, Kasthuri Patto – Ahli Parlimen Batu Kawan – sempat bertemu Speaker Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md Yusof. Kami bertemu sebaik saja selesai mesyuarat ketiga Asean Inter-Parliamentary Assembly Berkaitan Dadah (AIPACODD3) di Parlimen.

Justeru, hujah saya ini berdasarkan perbualan saya dengan beliau. Banyak yang kami bincangkan. Antaranya ialah perkembangan semasa parlimen dan peranan yang boleh dimainkan beliau serta ahli parlimen untuk terus menjamin kebebasan dan kewibawaan institusi demokrasi negara, iaitu parlimen.

Mohamad Ariff ternyata tenang meskipun sedar ketidaktentuan yang mungkin timbul dalam sidang parlimen akan datang, terutama apabila ada usul untuk menukar beliau dan timbalannya, Nga Kor Ming.

Apabila ditanya berkenaan usul tersebut, Mohamad Ariff menyambutnya dengan sikap terbuka dan berlapang dada. Cuma, katanya, apa-apa usul boleh dikemukakan tetapi biarlah ia mengikut prosedur peraturan mesyuarat parlimen. “Go by the book-lah!” katanya ringkas.

Malah menurut beliau, ketika beberapa usul dikemukakan dalam sidang pada 18 Mei lepas, setiap pertimbangan terhadap usul “panas” tersebut dibuat dengan teliti tanpa memikirkan implikasi politik.

Untuk rekod, terdapat empat usul yang dibangkitkan pada ketika itu. Difahamkan usul yang diterima oleh speaker ialah usul tidak percaya terhadap perdana menteri dan usul melanjutkan sidang.

Dua ciri yang dipertimbangkan ialah sama ada usul berkenaan bersifat melibatkan kepentingan orang ramai dan perlu disegerakan.

Bagaimanapun, penerimaan usul tersebut sebagai aturan mesyuarat tidak bermakna usul boleh dibentangkan. Agenda aturan mesyuarat diputuskan oleh ketua dewan atau ketua majlis iaitu perdana menteri.

Harap kuasa tak disalah guna

Maka sesuatu usul bukan kerajaan atau persendirian boleh dikemudiankan setelah semua urusan agenda kerajaan selesai. Dengan kata lain, perdana menteri dan kerajaan masih boleh “kawal” agenda mesyuarat.

Saya bawa perkara ini untuk menjelaskan sikap speaker, seorang bekas hakim Mahkamah Rayuan.

Beliau tidak memohon untuk dilantik sebagai speaker tetapi apabila terlantik dan diberi amanah, beliau melaksanakannya seadil dan semampu boleh mengikut peraturan yang ditetapkan meskipun pernah menyingkir keluar seorang ahli parlimen kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Saya juga masih ingat bagaimana beliau berjaya menguruskan beberapa debat panas di antara ahli parlimen.

Sebagai speaker, Mohamad Ariff melaksanakan pelbagai usaha reformasi parlimen yang boleh dibanggakan. Antaranya, menubuhkan lebih banyak jawatankuasa pilihan khas sebagai badan semak dan imbang, merakyatkan parlimen melalui penganjuran seminar dan bengkel di parlimen serta bersikap adil semasa melaksanakan tanggungjawabnya.

Beliau juga telah memulakan kerja untuk memperkenalkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen di samping menggesa pelantikan jawatan-jawatan penting dalam negara seperti SPR, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) perlu disahkan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.

Paling penting ialah beliau berjaya meletakkan asas untuk mengembalikan kewibawaan institusi parlimen sebagai institusi demokrasi terhormat yang bukan sahaja disanjung oleh rakyat dan negara tetapi juga dipuji parlimen serantau serta global.

Dari sudut ini dan kewibawaan yang ada pada Mohamad Ariff, sewajarnya beliau tidak disingkirkan sebaliknya dikekalkan dengan jawatan berkenaan. Penggantian beliau – jika berlaku – merupakan satu kerugian besar buat institusi demokrasi negara yang sedang menuju ke arah yang lebih baik sebagaimana yang dijanjikan oleh PH dalam Buku Harapan.

Meskipun “kuasa” ada pada perdana menteri dan kerajaan sekarang untuk menukar speaker dan timbalan speaker, namun saya harap ia tidak disalahgunakan demi kuasa sehingga mengatasi kepentingan perubahan institusi parlimen yang kunci pentingnya ialah speaker Dewan Rakyat.

_______________________________________________________________________SYED IBRAHIM SYED NOH ialah ahli parlimen Ledang merangkap pengerusi PKR Johor.

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply