Khabar Angin Pertukaran Kerajaan Negeri Sabah Makin Kencang

Khabar Angin Pertukaran Kerajaan Negeri Sabah Makin Kencang
Kuala Lumpur, MTN – “Kita tunggu sahaja berita mengejutkan”.
Itu kata Ahli Parlimen Kimanis Datuk Mohamad Alamin tentang khabar angin pertukaran tampuk pemerintahan kerajaan negeri Sabah.
Ujarnya, berita mengenai perkembangan terbaharu itu semakin hangat dan dijangka menjadi kenyataan dalam masa terdekat.
Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan tempoh peralihan kuasa daripada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
“Angin (tukar kerajaan negeri Sabah) sudah semakin kencang setakat sekarang. Ia dijangka berlaku. Namun berapa lama kita tak pasti,” katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.
Sebelum ini, Mohd Shafie mendakwa ada usaha oleh pihak lawan untuk membeli wakil rakyat Parti Warisan Sabah (Warisan).
Beliau berkata, tekanan politik dikenakan terhadap pemimpin Warisan hanya kerana parti itu dilihat tidak bersetuju untuk bekerjasama dengan mereka di peringkat kerajaan Persekutuan.
Bagaimanapun, UMNO Sabah menafikan tuduhan Mohd Shafie bahawa parti itu dan bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman sedang “membeli wakil rakyat” bagi menjatuhkan kerajaan Warisan di negeri itu.
Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata kenyataan yang dikeluarkan pemimpin parti Warisan itu adalah bersifat provokasi melampau serta hasutan.
Bung juga menambah kerajaan Warisan adalah kerajaan pintu belakang dalam erti kata sebenarnya dan kerajaan itu goyang disebabkan ketidakupayaan mereka mentadbir negeri.
Desas desus itu dikuatkan lagi dengan dakwaan khabar angin akan ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri itu akan berpaling tadah yang berpotensi menjadi faktor menyumbang kepada pembentukan kerajaan negeri baharu.
Ia selepas situasi politik tidak menentu apabila kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) tumbang apabila Johor, Melaka, Perak dan Kedah bertukar tangan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Author Profile
Latest entries
NationalAugust 25, 2021Fokus PRU15, Bukan Kerusi Pengerusi PH Atau Ketua Pembangkang
NationalAugust 25, 2021Hadi Awang: Taliban dah Berubah, Jangan Percaya pada Media Jahat
NationalAugust 25, 2021Menjelang Pengumuman Kabinet, Ulama Pas: Jangan Sesiapa Jadi ‘Abang Long’
PolitikAugust 25, 2021Puad: Lantik Azmin Ali Sebagai TPM Umpama Bunuh Diri