Dr Mahathir dan 4 Ahli Parlimen Cabar Pelantikan Speaker Dewan Rakyat
Dr Mahathir dan 4 Ahli Parlimen Cabar Pelantikan Speaker Dewan Rakyat
Kuala Lumpur, MTN – Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, anaknya bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz dan tiga lagi hari ini menfailkan tindakan undang-undang bagi mencabar kesahihan pelantikan Datuk Azhar Azizan Harun dan Datuk Seri Azalina Othman Said masing-masing sebagai Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Kedua-dua beranak itu bersama bekas Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik, Ahli Parlimen Kubang Pasu Datuk Wira Amiruddin Hamzah dan Ahli Parlimen Sri Gading Datuk Dr Shahruddin Md Salleh menfailkan saman pemula terhadap Azhar, Azalina, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon dan Setiausaha Dewan Rakyat Nizam Mydin Bacha Mydin melalui Tetuan Law Practice of Rafique di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil di sini.
Dalam saman pemula itu kelima-lima plaintif menamakan keempat-empat mereka sebagai defendan pertama hingga keempat.
Mereka memohon deklarasi bahawa kerusi Yang Dipertua Dewan Rakyat sejak 13 Julai lepas masih kosong dan pelantikan Azhar dan Azalina itu adalah tidak sah kerana ianya tidak berperlembagaan dan/atau bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan/atau Peraturan 3,4, 6 dan 47 Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan/atau kedaulatan undang-undang.
Plaintif-plaintif juga menuntut deklarasi bahawa semasa perjalanan sesuatu persidangan Dewan Rakyat sebaik sahaja usul mengosongkan jawatan Yang Dipertua dan/atau timbalan diluluskan oleh majoriti Dewan Rakyat, maka tempoh 14 hari bagi pihak setiap Ahli Dewan Rakyat untuk mengemukakan calon Yang Dipertua dan timbalannya adalah bermula dari tarikh usul itu diluluskan.
Mereka juga memohon perintah seorang Yang Dipertua dan timbalannya sekiranya jawatan itu dikosongkan semasa perjalanan persidangan berlangsung hendaklah melalui proses-proses pencalonan, perbahasan dan pengundian cukup bilangan oleh Ahli-Ahli Dewan Rakyat untuk menjadikan satu proses pelantikan yang sah.
Antara alasan yang dikemukakan dalam permohonan itu adalah tindakan defendan ketiga (Mohd Rashid) yang membuat penetapan dengan memaklumkan bahawa cuma ada satu calon bagi tujuan pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat baharu, adalah tidak sah.
Ini adalah kerana tidak ada peluang diberi oleh defendan ketiga dan keempat (Nizam Mydin) kepada semua Ahli Dewan Rakyat untuk memajukan pencalonan dan/atau perbahasan dan/atau pengundian bagi mengisi kerusi Yang Dipertua Dewan Rakyat dalam masa 14 hari sebelum mana-mana mesyuarat lanjutan bagi tujuan pelantikan diadakan.
Plaintif juga mendakwa tindakan defendan keempat untuk memasyurkan dan/atau memanggil Azhar dan Azalina mengambil tempat sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat dan timbalan adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan/atau Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan tidak sah.
Dalam afidavit yang diikrarkan Dr Mahathir bagi menyokong saman pemula itu, beliau antaranya berkata mahkamah di bawah kuasa kehakiman, berhak untuk memberikan deklarasi yang dimohon semua plaintif bagi menentukan bahawa mana-mana persidangan Dewan Rakyat selepas 13 Julai yang akan merangkumi keputusan-keputusan negara dan/atau kelulusan rang undang-undang tidak terpalit dengan kecacatan atau ketidaksahihan.
Beliau juga mendakwa sekiranya mahkamah tidak melaksanakan tanggungjawab untuk memperbetulkan ketidakaturan yang dimohon dalam saman pemula, maka persidangan lanjut Dewan Rakyat selepas 13 Julai yang dipengerusikan oleh Azhar atau Azalina akan menjadi tidak sah dan juga berpotensi untuk menjadikan mana-mana penetapan kelulusan rang undang-undang dan perbahasan juga menjadi tidak sah.
Author Profile
Latest entries
- NationalAugust 25, 2021Fokus PRU15, Bukan Kerusi Pengerusi PH Atau Ketua Pembangkang
- NationalAugust 25, 2021Hadi Awang: Taliban dah Berubah, Jangan Percaya pada Media Jahat
- NationalAugust 25, 2021Menjelang Pengumuman Kabinet, Ulama Pas: Jangan Sesiapa Jadi ‘Abang Long’
- PolitikAugust 25, 2021Puad: Lantik Azmin Ali Sebagai TPM Umpama Bunuh Diri