Nur Jazlan Nasihatkan Bersatu Ukur Baju Di Badan Sendiri | Malaysia News
December 14, 2024

Nur Jazlan Nasihatkan Bersatu Ukur Baju di Badan Sendiri

Nur Jazlan Nasihatkan Bersatu Ukur Baju di Badan Sendiri

Nur Jazlan Nasihatkan Bersatu Ukur Baju di Badan Sendiri

Kuala Lumpur, MTN – Ukur baju di badan sendiri – itu nasihat seorang pemimpin Umno Johor untuk Bersatu di negeri berkenaan.

Membincangkan isu pembahagian kerusi menjelang pilihan raya umum (PRUI) akan datang, Timbalan Pengerusi Umno Johor, Nur Jazlan Mohamed, berkata untuk bertanding di sesebuah kawasan Bersatu perlu melihat kemampuan sendiri.

Ketika ini kata bekas anggota parlimen Pulai itu untuk bergerak pun Bersatu terpaksa bergantung kepada jentera dan sokongan anggota Umno.

“Ahli mereka hendak jadi pekerja pilihan raya pun tak cukup, seperti ejen di pusat pengundian dan pengiraan,” katanya seperti dipetik The Malaysian Insight hari ini.

Menurut beliau keadaan begitu tidak berlaku pada Umno kerana parti berkenaan memiliki bilangan pengundi dan jentera yang lebih baik berbanding parti komponen lain dalam Perikatan Nasional (PN).

Walaupun bersama dalam gabungan tidak berdaftar itu, hubungan di antara Umno dan Bersatu dilihat tidak begitu kukuh dengan Johor menjadi satu daripada negeri yang kelihatan tegang.

Seorang Adun Pakatan Harapan (PH) sebelum ini pernah mendedahkan bagaimana kerajaan negeri hampir bertukar kembali kepada mereka apabila sebahagian wakil rakyat Bersatu bersedia untuk menarik balik sokongan kepada Umno.

Menjelang PRU ke-15 isu pembahagian kerusi dijangka akan terus membantutkan kerjasama di antara kedua-dua parti. Sebelum ini beberapa pemimpin sudah menegaskan untuk mengambil semula kerusi parlimen atau dewan undangan negeri yang dimenangi wakil rakyat Bersatu menggunakan tiket Umno.

Nur Jazlan berkata formula pengagihan kerusi yang dipersetujui di peringkat atasan PN tidak sesuai dilaksanakan di Johor kerana di negeri itu tiada pengundi bagi kaum tertentu mendominasi.

Jika diadakan pilihan raya katanya Umno akan mendapat lebih banyak undi berbanding Bersatu dan PAS.

Katanya tidak banyak kawasan yang menjadi tempat orang Melayu membentuk pengundi majoriti yang benar-benar tinggi.

Justeru kata Nur Jazlan Umno hanya bersedia menyerahkan sesuatu kerusi kepada Bersatu jika anggota parti kawasan tersebut bersetuju dan rela menghulurkan bantuan.

“Kecuali kawasan yang orang Umno sendiri nak bagi calon Bersatu dan setuju, contohnya Muhyiddin,” katanya.

Pada masa sama anak bekas menteri kanan Umno itu juga mengingatkan Bersatu agar dapat mengemukakan calon yang berpeluang memenangi sesebuah kerusi.

Ketika ini katanya calon Bersatu gagal mengalih sokongan pengundi Melayu.

“Kalau berkesan, sokongan daripada Umno pasti beralih kepada Bersatu. Bersatu kena letak calon yang lebih efektif, yang mempunyai peluang menang lebih tinggi.

“Wakil rakyat mereka hari ini tak berjaya tambah kekuatan Bersatu, akhirnya Umno pula nanti kena bantu calon mereka yang berat untuk diterima oleh rakyat,” katanya.[mk]

Facebook Comments

Author Profile

Chen Fang Guang

About The Author

Leave a Reply