Khalid: Amanah Teruskan Perjuangan PAS Era 80-an | Malaysia Top News
December 5, 2020

Khalid: Amanah Teruskan Perjuangan PAS Era 80-an

Kuala Lumpur, MTN – Parti Amanah meneruskan perjuangan PAS era 1980-an yang membawa keluar parti Islam itu daripada perjuangan berteraskan Melayu-Islam, kata Khalid Samad. Pengarah Komunikasi Amanah itu berkata, mereka bertindak meninggalkan PAS kerana menentang usaha Presiden PAS Abdul Hadi Awang mengembalikan perjuangan yang pernah ditolak itu.

“Amanah sebenarnya sedang meneruskan satu perjuangan yang telah diusahakan pada tahun 1980-an bila PAS melalui satu transfomasi nak bawa PAS keluar daripada kerangka perjuangan Melayu-Islam yang telah diperjuangkan oleh Almarhum Mohd Asri Muda.

“Apa yang berlaku pada 2015 adalah usaha untuk nak bawa balik PAS dulu yang ditentang oleh Hadi iaitu Melayu-Islam dan Amanah ditubuh sebagai satu protes terhadap usaha itu.

“Kita nak kekal dengan usaha yang dibawa oleh Almarhum Yusof Rawa, Almarhum Fadzil Noor, Almarhun Nik Aziz Nik Mat, yang inginkan satu parti Islam yang bebas daripada sentimen perkauman,” katanya.

Amanah yang juga parti serpihan PAS ditubuhkan pada Ogos 2015 dengan mengambil alih parti pekerja-pekerja Malaysia.

Parti ini digerakkan oleh bekas timbalan presiden PAS Mohamad Sabu bersama kumpulan profesional dan progresif dalam parti itu.

Kumpulan ini menentang kumpulan ulama PAS selepas parti itu membuat keputusan membatalkan kerjasama politik dengan DAP sehingga terkuburnya Pakatan Rakyat.

Mengulas lanjut, Khalid berkata PAS yang ada hari ini adalah parti yang membawa dasar lama walaupun dipimpin ulama.

“Walaupun mereka dipimpin oleh ulama tetapi mereka membawa dasar yang lama iaitu Melayu-Islam dan sekarang ini tak ada ada orang boleh nafikan bila mereka bersama dalam Perikatan Nasional (PN) yang mana PN punya pendirian adalah Melayu-Islam, ketuanan Melayu, ‘no DAP’,” katanya.

Tuduhan ‘Khadam DAP’ untuk rosakkan imej

Tambahnya lagi, pemimpin-pemimpin terdahulu PAS tidak membawa politik perkauman dan tidak mempunyai masalah menjalinkan kerjasama dengan DAP.

Ditanya mengenai Amanah yang sering dilabel sebagai “khadam DAP”, Khalid berkata ia dicipta bagi memburukkan imej parti itu.

“Untuk merosakkan imej Amanah itu, maka kami dituduh khadam DAP sedangkan apa yang kita lakukan adalah apa yang telah diusahakan oleh ketiga-tiga tokoh PAS terlebih dahulu,” tambahnya lagi.

Sementara itu mengulas mengenai penerimaan rakyat terhadap parti itu khususnya di negeri-negeri yang sinonim dengan PAS, Khalid berkata, Amanah terima baik oleh rakyat khususnya di negeri Kelantan yang mana keahliannya meningkat dengan ketara.

“Sekarang ini keahlian yang paling ramai adalah di Kelantan. Kita mempunyai lebih kurang dalam 30,000 ahli dan ia menunjukkan pertambahan antara yang tertinggi tiap- tiap bulan dalam hampir seribu (orang).

“Ia (keahlian) bertambah sejak kita membentuk kerajaan dan sejak kerjasama PAS dengan Umno semakin ketara,” jelas Khalid.[mk]

Facebook Comments
Share on:
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •