Anwar Sedia Pertimbang Parti Baru Dr M Ke Dalam PH, Jika Diminta | Malaysia News
May 11, 2021

Anwar Sedia Pertimbang Parti Baru Dr M ke Dalam PH, Jika Diminta

Kuala Lumpur, MTN – Pakatan Harapan bersedia mempertimbangkan kemasukan parti baru yang akan ditubuhkan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad ke dalam gabungan itu, kata Pengerusinya Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, menurut presiden PKR setakat ini tidak ada lagi sebarang permintaan daripada bekas pengerusi Bersatu itu.

“Dia tak minta pun,” katanya apabila ditanya jika PH akan menerima parti yang baru ditubuhkan Mahathir sebagai komponen parti gabungan tersebut.

“Sekiranya dia minta kita pertimbangkanlah. Biar dia minta dulu,” katanya kepada pemberita selepas majlis jelajah presiden ke Selangor di Shah Alam, Selangor malam ini.

Mahathir pada petang tadi mengumumkan pembentukan parti Melayu dan peribumi baru dan memaklumkan kepada penyokongnya bahawa wadah baru politik itu tidak perlu menjadi besar selagi mempunyai anggota yang komited.

Katanya, parti itu mungkin tidak akan menang kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan tetapi boleh menjadi penentu dalam menentukan blok mana yang akan menang pilihan raya akan datang.

Bagaimanapun, Anwar berkata memandangkan Mahathir baru mengumumkan penubuhan parti tersebut, ahli parlimen Port Dickson memilih untuk bersikap tunggu dan lihat.

“Tun baru nak umumkan nak tubuhkan parti baru kita tengoklah,” katanya.

Anwar juga enggan mengulas ketika ditanya sekiranya langkah penubuhan parti itu wajar dilakukan atau tidak.

Advertisement

Terdahulu, Dr Mahathir berkata parti baru yang belum dinamakan itu tidak akan terikat dengan mana-mana parti campuran “iaitu tidak bersama Pakatan Harapan dan tidak juga dengan Perikatan Nasional.”

“Apabila kami bertanding (pada pilihan raya akan datang) kami mungkin akan adakan perjanjian dengan parti-parti, mungkin juga tidak. Tetapi selepas pilihan raya, kami boleh menyertai sesuatu gabungan atau lainnya.

“Kami bebas, kami boleh buat sebarang keputusan untuk menyertai mana-mana parti yang kami fikir akan membawa matlamat penubuhan (parti) kami,” katanya.

Beliau memberikan jawapan serupa ketika ditanya jika beliau akan membentuk blok ketiga bersama dengan Warisan.

Ditanya mengapa beliau tidak menyesuaikan kekuatan barunya bersama bekas rakan-rakan dalam PH, Mahathir menyebut terdapat “masalah” dengan PKR.

“Kami ingin bekerjasama dengan Pakatan Harapan, tetapi kami ada beberapa masalah dengan parti terbesar PH. Saya tidak mahu menyebutkannya, tetapi saya rasa anda semua tahu, ”katanya.

“Kami tidak berpecah daripada siapa pun, kami bebas daripada semua orang,” tambah Mahathir ketika ditanya sekiranya beliau berpecah dengan Anwar.[mk]

Advertisement
Facebook Comments
Share on:
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •