Kontraktor Melayu Berupaya Membida Projek Swasta | Malaysia News
February 24, 2024

Kontraktor Melayu Berupaya Membida Projek Swasta

Kontraktor Melayu Berupaya Membida Projek Swasta

Kuala Lumpur, MTN – Kontraktor Melayu dan bumiputera diseru agar lebih proaktif dan bersiap sedia dalam menghadapi kebiasaan baharu masa ini yang penuh cabaran dan perubahan.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, adalah menjadi harapan beliau untuk melihat kontraktor Melayu dan bumiputera mampu berusaha, berinisiatif dan berdaya saing merebut semua peluang sedia ada.

“Kontraktor Melayu dan bumiputera perlu sentiasa meningkatkan kapasiti dan kemampuan supaya berupaya membida serta melaksanakan projek-projek swasta supaya kita tidak terlalu bergantung kepada projek-projek kerajaan.

“Saya percaya kontraktor-kontraktor kecil yang mempunyai rekod kerja yang baik, tidak akan menghadapi masalah dalam mendapatkan projek-projek daripada sektor swasta.

“Jika dilihat kepada peruntukan kerajaan untuk projek-projek mega, biarpun kontraktor utama dipilih dalam kalangan kontraktor besar kategori G7 (keupayaan tawaran tender tiada had), namun kontraktor-kontraktor kecil masih berpeluang untuk bersaing, mendapatkan kerja-kerja subkontraktor di bawah projek-projek mega itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-41 Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia, secara dalam talian hari ini.

Menurut Fadillah, para kontraktor tidak harus memasuki hanya bidang yang sudah ‘padat’ atau yang tertentu sahaja sebaliknya perlu lebih inovatif dan berani meneroka bidang-bidang baharu.

“Kontraktor-kontraktor perlulah mempelbagaikan kegiatan mereka. Sebagai contoh, dalam bidang teknologi pertanian, petroleum dan gas, teknologi maklumat dan multimedia.

“Negara kini memerlukan lebih ramai usahawan yang mempunyai pemikiran positif, strategik dan berilmu pengetahuan dalam bidang perniagaan, bagi menghadapi persaingan global,” ujarnya.

Setakat ini beliau berkata, sebanyak 120 industri bergantung kepada industri pembinaan yang antaranya adalah pembuatan bahan binaan, pembekal logistik, pemaju dan pengurusan fasiliti.

“Sektor pembinaan juga amat penting kerana ia menggajikan seramai 15.5 peratus daripada 8.5 juta tenaga kerja negara.

“Justeru, kerajaan amat peka kepada impak serta kesan yang dihadapi oleh para kontraktor, khususnya berkaitan kesan daripada penularan pandemik Covid-19 yang sedang dihadapi ketika ini.

“Menerusi Belanjawan 2021, kerajaan telah pun memperuntukkan sejumlah RM15 billion bagi meningkatkan perlaksanaan projek-projek infrastruktur,” tambahnya.

 

[MG]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply