Langgar PKP, Noor Azmi 'Cukup' Minta Maaf | Malaysia News

Langgar PKP, Noor Azmi ‘Cukup’ Minta Maaf

Kuala Lumpur, MTN – Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali hari ini memohon maaf dan mengaku kekhilafannya berhubung kehadiran di sebuah maahad tahfiz di Lenggong, Perak yang dianggap melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini.

“Berhubung kenyataan pihak polis akan memanggil dan mengambil keterangan berhubung insiden berkenaan, saya ingin memaklumkan bahawa saya sudah memberika keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya petang ini dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menjalankan siasatan.

“Saya sudah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak PDRM dalam siasatan insiden berkenaan. Saya juga menghargai komitmen pihak polis dalam menjalankan tanggungjawab mereka menguatkuasakan undang-undang tanpa mengira latar belakang individu, jawatan dan sebagainya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Noor Azmi, kejadian pada 17 April lalu melibatkan lawatan rasminya ke Klinik Kesihatan Lenggong untuk meninjau situasi semasa petugas kesihatan di sana yang menjalankan tanggungjawab menangani wabak Covid-19.

“Saya mengakui kekhilafan yang telah dilakukan dan memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia. Saya menghargai pengorbanan besar yang dilakukan oleh barisan hadapan seperti PDRM, Angkatan Tentera Malaysia, warga petugas Kementerian Kesihatan Malaysia dan agensi-agensi kerajaan lain yang terlibat menangani wabak Covid-19 ini,” ujarnya.

Beliau juga mendoakan seluruh rakyat Malaysia terus diberikan kesabaran dan tenang berdepan segala kesusahan yang dihadapi dalam tempoh PKP berjalan.[MG]

Facebook Comments
Share on:
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •