Langgar Titah Agong, Sokongan Bersyarat PN Kepada Ismail Sabri Tidak Sah Dan Wajar Ditolak | Malaysia News

Langgar Titah Agong, Sokongan Bersyarat PN Kepada Ismail Sabri Tidak Sah dan Wajar Ditolak

Langgar Titah Agong, Sokongan Bersyarat PN Kepada Ismail Sabri Tidak Sah dan Wajar Ditolak

Kuala Lumpur, MTN – Dalam kenyataan media Mahiaddin Md Yasin selaku Pengerusi Perikatan Nasional atau PN petang tadi, beliau memberitahu sokongan Ahli-Ahli Parlimen gabungan itu seramai 50 orang kepada Ismail Sabri Yaakob untuk diangkat menjadi Perdana Menteri adalah bersyarat.

Jumlah 50 orang itu adalah merangkumi 31 daripada Bersatu, 18 daripada Pas dan 1 daripada Star.

Mahiaddin berkata, jika mendapat perkenan Yang Dipertuan Agong untuk menjadi Perdana Menteri nanti, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO mesti memastikan anggota kabinetnya terdiri daripada individu yang berintegriti, amanah dan bebas daripada sebarang pertuduhan jenayah mahkamah.

“Kerajaan PN di bawah pimpinan beliau juga mestilah meneruskan amalan menghormati prinsip pengasingan kuasa, melindungi kebebasan badan kehakiman dan menjunjung konsep raja berpelembagaan,” katanya lagi.

Maksud mudah untuk difahami ialah Mahiaddin cuba memberi peringatan kepada Ismail Sabri agar tidak memberi sebarang kedudukan dalam kerajaan kepada “kluster mahkamah” dalam UMNO yang antaranya adalah Zahid Hamidi dan Najib Razak.

Tindakan Mahiaddin meletakkan syarat itu, selain memberi beberapa petunjuk seperti merupakan suatu ugutan dan seolah-olah untuk memberitahu bahawa Ismail Sabri adalah proksinya, ia juga merupakan suatu pelanggaran kepada titah Agong.

Dalam titah Agong yang disampaikan kepada semua Ahli Parlimen melalui Speaker pada 17 Ogos lalu, adalah jelas disebut bahawa sokongan kepada mana-mana Ahli Parlimen untuk dipilih sebagai sebagai Perdana Menteri adalah dengan penyataan kepercayaan yang terang, jelas dan tanpa syarat.

Kenapa PN masih cuba meletakkan syarat tertentu?

Tidak fahamkah titah Agong itu?

Dengan PN telah melanggar titah Agong, bermakna sokongan 50 Ahli Parlimen PN kepada Ismail Sabri dengan sendirinya adalah dianggap tidak sah.

Apabila tidak sah, bermakna 50 sokongan daripada PN sepatutnya tidak terpakai dan tertolak dengan sendirinya.

Mahiaddin dan PN dalam hal ini terang-terang telah tidak menghormati titah Agong dan ia dilakukan secara sengaja melalui kenyataan media yang dikeluarkannya.

114 tolak 50, bermakna sokongan yang sah untuk Ismail Sabri hanya tunggal 64 saja lagi.

Ampun Tuanku, diharap perkara ini diteliti dan diambil kira dengan sewajarnya demi kemuliaan kedudukan titah Tuanku yang sewenang-wenangnya tidak dipatuhi oleh pemimpin yang kemaruk kuasa dan demi kepentingan negara secara keseluruhannya yang menjunjung Raja Berperlembagaan. (ShahbudinHusin)

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply