Langit Hitam, Kemelut Politik di Tengah Pandemik
Langit Hitam, Kemelut Politik di Tengah Pandemik
Kuala Lumpur, MTN – Kemelut politik negara masih lagi berlanjutan mesikpun Yang di-Pertuan Agong telah bertitah supaya tidak lagi mengheret rakyat ke kancah politik yang merugikan apatah lagi ketika negara sedang berdepan dengan pandemik Covid-19.
Usaha-usaha untuk menggulingkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin masih lagi berlegar dan sedang rancak dibincangkan.
Bahkan setiap hari perang saraf dimainkan dan sentimen ditiupkan oleh kumpulan yang menentang PN, baik dalam kalangan PH mahupun tentera siber pro kepada bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
Suhu politik negara bertambah hangat apabila Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang juga pengerusi BN menyatakan kesediaan partinya untuk menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).
Ironinya, kenyataan itu dibuat Zahid selepas menerima kunjungan bekas perdana menteri Najib Razak di tengah-tengah kemelut antara Muhyiddin yang juga presiden Bersatu.
Ia kemudiannya disusuli dengan amaran Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar kepada wakil rakyat di negeri itu bahawa baginda akan membubarkan Dewan Undangan Negeri bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan sekiranya perebutan kuasa berterusan.
Melihat kepada situasi ini, tidak dapat dinafikan bahawa politik negara kita berada dalam antara kedudukan paling tidak stabil dalam sejarahnya.
Perubahan kerajaan boleh berlaku bila-bila masa saja jika mana-mana pihak berjaya “membeli” sokongan anggota parlimen di Dewan Rakyat.
Rencat pemulihan negara
PH bersama Mahathir dan Warisan dikatakan sudah memiliki angka yang cukup untuk kembali menerajui Putrajaya selepas ia jatuh ke tangan PN melalui “Langkah Sheraton” pada Feb lalu.
Persoalannya, apakah angka yang dimiliki itu mampu membentuk kerajaan yang benar-benar stabil dan tidak mampu digugat lagi, ataupun ia boleh bertukar tangan-tangan pada bila-bila masa?
Jika PH mengambil alih kerajaan dengan jumlah yang tipis kerajaan yang dibentuk juga tidak stabil dan Malaysia akan menyaksikan pertukaran beberapa kali kerajaan dalam tempoh satu penggal.
Ini jika berlaku pastinya akan merugikan rakyat serta merencatkan pemulihan dan pembangunan negara. Rakyat muak dan bosan dengan permainan pencatur kuasa politik yang bagaikan tidak peduli nasib rakyat ketika ini, sebaliknya hanya sibuk mengatur kuasa politik mereka.
Rakyat buat masa ini tidak mahu dengar soal siapa ingin menerajui negara, sebaliknya mereka mahu mendengar bagaimana usaha kerajaan untuk mengeluarkan mereka daripada kesempitan akibat Covid-19.
Rakyat tidak peduli lagi soal Mahathir, Anwar Ibrahim, Najib Razak mahupun Zahid Hamidi, ketika ini rakyat sedang membuat perkiraan bagaimana mereka mahu meneruskan kelangsungan hidup dalam keadaan yang sukar.
Rakyat mahu tahu tentang kelangsungan hidup mereka pasca Covid-19, soal pekerjaan dan ada makanan yang boleh dihidang di atas meja dan dinikmati bersama keluarga.
Ketika pemain politik sedang sibuk mencatur kuasa, rakyat sedang bergelut untuk memastikan kelangsungan hidup serta “kestabilan poket” untuk menyara keluarga.
Kelangsungan parti
Namun, jika kemelut politik ini masih berterusan, jalan terbaik adalah dengan mengadakan pilihan raya umum, menyerahkan kembali kuasa rakyat untuk menentukan mandat.
Walaupun ia sesuatu yang harus dielakkan ketika negara dalam situasi getir, menyerahkan kembali mandat kepada rakyat adalah sesuatu yang tepat bagi menstabilkan politik negara jika tiada penyelesaian.
Bekas perdana menteri ketujuh sendiri mengakui bahawa sekarang bukanlah masa sesuai untuk pilihan raya umum. Mana tidaknya, dengan situasai negara kini, pastinya “rabak” kantung negara jika pilihan raya diadakan.
PH perlu berhati-hati dengan kemelut yang melanda kini, jika mengheret kepada berlakunya pilihan raya dalam situasai ketika ini, PH akan berdepan kerugian yang besar.
Apakah PH telah bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum sekali lagi dan yakin mereka akan mendapat sokongan rakyat sekali lagi.
Mood rakyat dan pola sokongan ketika ini boleh dirasai dan dapat dilihat di media sosial juga bahawa ia tidak memihak kepada PH.
Adalah satu cabaran yang sukar untuk PH mendapat kembali mandat rakyat melalui pilihan raya khususnya daripada pengundi Melayu.
Perikatan Nasional (PN) khususnya Muafakat Nasional akan mendapat manfaat besar jika pilihan raya umum diadakan dalam tempoh terdekat ini.
Lima pilihan raya kecil yang berlangsung sebelum ini membuktikan Muafakat Nasional yang dibentuk bersama Umno dan PAS telah membentuk momentum sokongan rakyat untuk kembali menerajui negara.
Oleh itu percaturan politik kali ini tidak harus melihat kepada sentimen dan emosi semata-mata, namun ia perlu melihat keuntungan dan kelangsungan parti.
Untung satu timbul, untung batu tenggelam, silap percaturan menang sorak kampung tergadai.[mk]
HASPAIZI ZAIN
Author Profile
Latest entries
- NationalAugust 25, 2021Fokus PRU15, Bukan Kerusi Pengerusi PH Atau Ketua Pembangkang
- NationalAugust 25, 2021Hadi Awang: Taliban dah Berubah, Jangan Percaya pada Media Jahat
- NationalAugust 25, 2021Menjelang Pengumuman Kabinet, Ulama Pas: Jangan Sesiapa Jadi ‘Abang Long’
- PolitikAugust 25, 2021Puad: Lantik Azmin Ali Sebagai TPM Umpama Bunuh Diri