Liga M 2020, Ada Hikmah Di Sebalik Penangguhan | Malaysia News

Liga M 2020, Ada Hikmah di Sebalik Penangguhan

Liga M 2020, Ada Hikmah di Sebalik Penangguhan

Liga M 2020, Ada Hikmah di Sebalik Penangguhan

Kuala Lumpur, MTN – Saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2020 yang membuka tirai akhir bulan lepas, pastinya terkesan apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengarahkan semua aksi liga ditangguhkan susulan penularan wabak COVID-19.

Malah, pasukan bertanding juga tidak dibenarkan mengadakan sesi latihan atau perlawanan persahabatan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula Rabu (18 Mac) hingga 31 Mac ini.

Situasi itu pastinya merencatkan percaturan pasukan bagi musim 2020, namun di sebalik cabaran yang menimpa industri bola sepak tanah air, terdapat hikmah cukup besar buat jurulatih dan pemain dalam menghadapi baki saingan Liga-M selepas ini.

Jurulatih Selangor, B. Sathianathan yang agak bergelut membimbing skuad Gergasi Merah dalam empat aksi pertama Liga Super musim ini, berkata tempoh ‘bertenang’ itu boleh dimanfaatkan barisan kejurulatihan untuk menilai dan merangka semula perancangan pasukan.

Beliau berkata tempoh itu adalah peluang untuknya mencari formula baharu bagi mengatasi prestasi tidak menentu pasukan yang kini berada di kedudukan ketujuh, ketinggalan lima mata di belakang pendahulu Johor Darul Ta’zim (JDT) yang mengumpul 10 mata.

“Saya perlu merangka formula baharu untuk tingkatkan prestasi pasukan selepas kekalahan kepada Kedah tempoh hari. Saya juga dapat menonton klip video perlawanan dan mengenal pasti kelemahan yang ada.

“Ketika ini, komunikasi bersama pemain hanya menerusi telefon. Saya sering beritahu apa kelemahan perlu diatasi selain memberi kata-kata motivasi dan beberapa cadangan tentang perancangan pasukan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Bekas pengendali skuad kebangsaan berusia 61 tahun itu berkata pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan diumumkan kerajaan juga memberi kelebihan dan manfaat kepada beberapa pemainnya yang sedang menjalani sesi pemulihan daripada kecederaan.

Berkongsi pandangan sama adalah pengendali Melaka, Zainal Abidin Hassan yang tetap komited mengarahkan barisan pemainnya mengekalkan kecergasan dengan menjalani latihan di rumah mengikut modul latihan ditetapkan.

Katanya, beliau akan memantau perkembangan pemain sepanjang tempoh penangguhan Liga Super dan meletakkan aspek kecergasan sebagai keutamaan dalam tempoh ‘bertenang’ ini.

“Sebagai jurulatih, kita perlu menjaga tahap prestasi pemain, jadi saya arahkan mereka berlatih sendirian di tempat sesuai bagi mengekalkan kecergasan. Kita ada banyak cadangan dan perancangan taktikal baharu,” jelas jurulatih berusia 57 tahun itu.

Melaka kini di kedudukan ketiga Liga Super, berkongsi enam mata bersama Pahang di tempat keempat selepas empat perlawanan.

Dalam pada itu, ketua jurulatih Pahang Dollah Salleh berkata penangguhan saingan liga berkenaan sedikit sebanyak menjejaskan prestasi pasukannya, selepas bangkit daripada kegagalan mengutip sebarang mata dalam dua perlawanan pertama sebelum meraih kemenangan berturut-turut pada dua aksi terakhir sebelum ini.

Namun, Dollah yang membimbing skuad Tok Gajah menjuarai Piala Malaysia 2013 dan Piala FA 2018 tidak terlalu bimbang kerana percaya barisan pemainnya akan menggunakan tempoh ‘berehat’ ini dengan melakukan latihan di rumah.

“Mereka profesional, selama ini pun saya tahu mereka buat latihan tambahan di rumah kerana mereka ada kelengkapan seperti ‘exercise bike’ dan ‘treadmill’. Jadi saya tidak risau, cuma latihan di padang tetap diperlukan sebelum liga bersambung,” kata legenda bola sepak negara berusia 56 tahun itu.

MFL, selaku badan pentadbir Liga-M setakat ini masih belum memutuskan mengenai tempoh penangguhan liga, namun Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Ab Ghani Hassan dipetik sebagai berkata pihaknya sudah mempunyai perancangan sekiranya saingan terpaksa ditangguhkan sehingga Jun depan.

Pada masa sama, ketiga-tiga jurulatih tempatan yang memiliki karisma tersendiri dalam arena bola sepak tanah air, mengharapkan keadaan bertambah baik supaya bola sepak yang menjadi sukan nombor satu rakyat Malaysia dan ejen perpaduan kaum di negara ini dapat kembali dinikmati. [bernama]

Facebook Comments

Author Profile

Anand Pavit

About The Author

Leave a Reply