Kuala Lumpur, MTN – Aspek keselamatan dan kesihatan atlet dan pegawai sukan akan diberi keutamaan, sebelum memuktamadkan keputusan berhubung penyertaan kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, Julai ini, susulan penularan wabak COVID-19.
Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya akan bekerjasama rapat dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM), mengenai dua aspek berkenaan.
Pada masa sama beliau percaya, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dan semua ahli gabungan, akan mengambil kira pandangan dan cadangan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sekiranya pandemik global COVID-19 menjadi lebih serius dan tidak terkawal.
“Di samping itu, IOC yang secara keseluruhannya mempunyai 206 negara sebagai ahli gabungan perlu dan akan mendapat pandangan majoriti sebelum membuat keputusan muktamad,” katanya.
Dalam perkembangan sama Reezal Merican berkata, beliau telah dimaklumkan mengenai persidangan video antara IOC dengan 45 ahli gabungan dari benua Asia termasuk Malaysia, baru-baru ini, yang menyatakan sokongan kepada penganjuran Sukan Olimpik 2020 diteruskan mengikut jadual.
Beliau turut mengesahkan sudah dimaklumkan oleh Presiden (MOM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria bahawa sokongan yang dinyatakan itu bagaimanapun, tertakluk kepada beberapa syarat.
Antara syarat itu adalah, IOC akan berusaha membuat perubahan yang adil dalam proses kelayakan atlet, mengutamakan aspek kesihatan dan keselamatan atlet serta pegawai, selain terus memantau perkembangan terkini ancaman COVID-19, dari semasa ke semasa.
Sukan Olimpik 2020 dijadualkan berlangsung dari 24 Julai sehingga 9 Ogos ini di Tokyo, Jepun, namun penularan COVID-19 mencetuskan perdebatan dalam kalangan anggota IOC, sama ada temasya terbesar dunia itu wajar diteruskan atau tidak.[bernama]
Author Profile
Latest entries
CoronaVirus_Covid-192021.08.13Kerajaan Stabil Perlu Ditubuhkan Tangani Masalah Ekonomi Akibat Covid-19
CoronaVirus_Covid-192021.08.13Malaysia Parah, DSAI: Mana Jaminan Kerajaan Bahawa Keadaan Bertambah Baik
National2021.08.05Mahiaddin Kelirukan Agong, Penderhakaan Tertinggi yang Tidak Patut Dimaafkan
National2021.07.26Kadir Jasin: Mahiaddin Sepatutnya Meletak Jawatan