Mad Hasan Sebut Jika Terima Bot Rohingya Hanya Undang Masalah Lebih Besar | Malaysia News

Mad Hasan Sebut Jika Terima Bot Rohingya Hanya Undang Masalah Lebih Besar

Mad Hasan Sebut Jika Terima Bot Rohingya Hanya Undang Masalah Lebih Besar

Kuala Lumpur, MTN – Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata, jika kerajaan membenarkan bot membawa pelarian menghampiri sempadan Malaysia, lebih banyak kejadian seumpama itu akan berlaku.

Katanya ketika ini jumlah pelarian Rohingya di Malaysia dianggarkan ada kira-kira 150,000 orang.

“Menerima Rohingya pada waktu seperti ini akan membuka lebih banyak pintu buat warga asing dan bot untuk mendekati sempadan Malaysia dan oleh itu menghalang usaha kerajaan untuk memerangi Covid-19.

“Malaysia, sebelum ini menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan (PKP) dengan tujuan – antara lain – melarang warga asing dan bot masuk ke negara ini,” katanya seperti dipetik The Star.

Mohamad berkata negara telah melampaui kemampuan yang ada untuk menampung pelarian malah ada beberapa bahagian sudah menjadi terlalu padat dengan mereka.

Pada 16 April lalu pihak berkuasa Malaysia menyekat 200 orang pelarian Rohingya yang cuba memasuki negara secara haram menggunakan sebuah bot.

Mereka dikesan kira-kira 70 batu nautika di sebelah barat Pulau Langkawi.

Kru kapal KD Lekiu Tentera Laut Diraja Malaysia bagaimanapun mengedarkan makanan kepada mereka sebelum mengawal bot berkenaan keluar dari perairan negara.

Tindakan Malaysia kemudian mendapat kritikan daripada badan hak asasi manusia.

Amnesty International, misalnya, berkata perang melawan Covid-19 bukanlah alasan bagi kerajaan membiarkan laut mereka menjadi kubur bagi pelarian Rohingya.

Mencadangkan agar fokus diberikan kepada penyelesaian isu berkenaan, Mohamad berkata, Asean harus memulakan perbincangan dengan Myanmar untuk membolehkan pelarian Rohingya kembali dan hidup dengan aman di Rakhine.

“Selagi situasi ini berterusan, Rohingya akan terus berada dalam keadaan (dipinggirkan) selagi perkara asas masalah ini tidak ditangani,” katanya.[MK]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply