MAHB - SOP Di Lapangan Terbang Akan Dipertingkatkan | Malaysia News

MAHB – SOP di Lapangan Terbang Akan Dipertingkatkan

MAHB – SOP di Lapangan Terbang Akan Dipertingkatkan

Kuala Lumpur, MTN – Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) akan mempertingkatkan semua Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk pemulihan yang dapat dikekalkan dan secara berterusan dalam industri penerbangan sebagai persediaan kepada jumlah pergerakan penumpang dalam beberapa bulan akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata kesemua 39 lapangan terbang di bawah rangkaian MAHB di seluruh negara akan terus mengamalkan langkah keselamatan COVID-19 dan kekal diberi garis panduan oleh kerajaan dan pihak berkuasa berkaitan mengenai SOP terbaharu bagi melindungi penumpang dan komuniti lapangan terbang dan pada masa yang sama mengekang penularan pandemik itu.

“Sejak beberapa tahun lepas, kesiapsiagaan lapangan terbang menjadi faktor utama dalam memastikan perkhidmatan kami kekal relevan dan mencapai standard tinggi. MAHB memberi jaminan keselamatan kepada penumpang kerana operasi lapangan terbang kami kembali berjalan lancar,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata MAHB mengalu-alukan pengembara kembali ke rangkaiannya apabila sekatan perjalanan domestik dan antarabangsa ditamatkan.

Sementara itu, Mohd Shukrie berkata walaupun jumlah penumpang yang rendah, lapangan terbang di seluruh negara tetap beroperasi sepanjang tempoh pandemik tersebut dan menggunakan masa itu untuk memastikan pengalaman lapangan terbang yang selamat sebagai persediaan bagi pembukaan semula perjalanan udara.

Selain pelaksanaan langkah-langkah keselamatan untuk mengembalikan keyakinan terhadap perjalanan udara, kemudahan juga telah ditambah baik untuk meningkatkan pengalaman perjalanan.

“Kakitangan kami di semua lapangan terbang sudah bersedia untuk menjalankan tugas pada tahap kecekapan yang maksimum untuk menyambut penumpang.

“Kami telah memastikan kepatuhan sepenuhnya terhadap langkah-langkah kebersihan COVID-19 dengan lima lapangan terbang antarabangsa iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching menerima akreditasi ‘Airport Health Accreditation’ (AHA).

Beliau berkata MAHB juga telah mencapai kadar vaksinasi 98 peratus untuk semua kakitangannya di seluruh negara dalam usaha untuk kembali normal.

 

[Bernama]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply