Maybank, Top Glove, Public Bank Miliki Modal Pasaran Terbesar Di Malaysia | Malaysia Top News
September 28, 2020

Maybank, Top Glove, Public Bank Miliki Modal Pasaran Terbesar di Malaysia

Kuala Lumpur, MTN – Maybank, Top Glove dan Public Bank merupakan syarikat terbesar di Malaysia dari segi permodalan pasaran setakat hari ini.

Maybank, bank terbesar negara dengan permodalan pasaran RM88.6 bilion, sememangnya sentiasa berada di puncak dengan wajaran indeks (CI) komposit 11.15 mata, diikuti Public Bank dengan wajaran CI 8.76 mata.

Public Bank yang terkenal dengan dana bersama mempunyai permodalan pasaran RM69.5 bilion setakat semalam.

Bagaimanapun, kemunculan pandemik Covid-19 telah merubah keadaan dengan Top Glove, yang pernah berada di tangga bawah FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI), kini mengambil tempat Public Bank, menjadi syarikat permodalan pasaran kedua terbesar di Bursa Malaysia.
Menurut data Bloomberg, syarikat pembuat sarung tangan itu kini mempunyai permodalan pasaran RM70.45 bilion, dengan wajaran CI pada 8.87 mata; menyaksikan purata 52 minggu RM4.21-RM26.30.

Saham Top Glove, pengeluar sarung tangan terbesar dunia itu telah melonjak lebih 450 peratus setakat tahun ini, disokong oleh permintaan luar biasa dari negara seluruh dunia ekoran meningkatnya jumlah kes COVID-19.

Ini, meskipun selepas Kastam AS menempatkan anak-anak syarikatnya, Top Glove Sdn Bhd dan TG Medical Sdn Bhd dalam senarai sekatan “Withhold Release Order”.

Sementara kaunter sarung tangan memperlihatkan lonjakan luar biasa, kaunter-kaunter perbankan sebaliknya, terus tertekan ekoran data inflasi yang tinggi serta peningkatan dalam kadar pengangguran, yang boleh menjuruskan kepada senario pinjaman tidak berbayar yang tinggi.

Bagaimanapun, adalah penting untuk diketahui bahawa bank-bank mempunyai asas dan penampan yang kukuh untuk melindungi sektor itu daripada tekanan tambahan ekoran Covid-19.

Menurut Bank Negara Malaysia, bank-bank Malaysia berada di kedudukan yang lebih baik berbanding ketika berlakunya Krisis Kewangan Asia 1997 dan Krisis Kewangan Global 2008-2009.[mg]

Facebook Comments
Share on:
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •