MB Kedah: PH yang Bergolak, Bukan Kita yang Pulun!
MB Kedah: PH yang Bergolak, Bukan Kita yang Pulun!
Putrajaya, MTN – Pergolakan dan krisis yang terjadi di dalam politik Kedah sehingga membawa kepada pertukaran kerajaan dan kerusi Menteri Besar baru-baru ini adalah hasil daripada pergelutan yang terjadi di dalam Pakatan Harapan (PH) sendiri.
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Mohd. Nor berkata, apa yang berlaku bukan disebabkan kegelojohan dan kerakusan parti Pas atau gabungannya dalam Perikatan Nasional (PN).
Menurut Sanusi, kalau dilihat dan diamati, Kedah sebenarnya mengambil masa yang ‘lebih panjang’ dalam pertukaran kerajaan berbanding di negeri-negeri lain seperti mana yang berlaku di Johor, Melaka dan Perak.
“Kita tidak mahu gopoh, menimbulkan keresahan dan kegelisahan di kalangan rakyat, kalau kita terlalu ‘pulun’ dalam politik untuk nak ‘merebahkan’ orang, nak ambil kuasa, nak tukar kerajaan…rakyat akan ‘cemuih’ (bosan).
“Kita nak didik rakyat biarlah proses pertukaran kerajaan ini berlaku secara alami, bukan direkayasa secara keterlaluan hingga mengheret rakyat masuk dalam kancah ini.
“Keberantakan merekalah (PH) yang membuatkan ‘durian mula luruh’,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam temubual eksklusif dalam program Owh!MG terbitan Malaysia Gazette di sini baru-baru ini.
Muhammad Sanusi, 46, merupakan Timbalan Pesuruhjaya 1 Pas Kedah dan sebelum ini adalah Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah.
Beliau dinamakan sebagai Menteri Besar Kedah ke-14 bagi menggantikan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Ia susulan peletakan jawatan Mukhriz selepas hilang kepercayaan majoriti ADUN di Kedah.
Lanjutan dari peletakan jawatan tersebut, Tuanku Sultan Kedah memperkenan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu sebagai menteri besar baharu.
Mengulas lanjut mengenai perancangannya terhadap kemajuan negeri Kedah, Muhammad Sanusi berkata, sudah tiba masanya negeri tersebut diberi perhatian ‘yang lebih’ oleh kerajaan pusat kerana mereka ibarat ‘abang sulung’ yang telah banyak berkorban untuk kemakmuran negara.
Jelasnya, sektor pertanian seperti penanaman padi di negeri itu menyumbang kepada 43 peratus bekalan padi negara di mana penggunaannya untuk seluruh rakyat Malaysia.
Negeri itu juga, katanya, menyimpan kawasan hutan yang luas untuk kawasan tadahan dan empangan yang banyak untuk membekalkan air.
“Tanah sawah kita simpan untuk tanam padi, hutan kita simpan sebagai kawasan tadahan, tanah yang luas kita simpan sebagai takungan air bagi kawasan pertanian, membekalkan minuman untuk Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.
“Kedah ini ibarat abang sulung…abang sulung ini sifatnya berkorban untuk adik-adik, abang sulung ni dalam kehidupan biasanya miskin, dia susah demi adik-adik dia, jadi kena tengoklah ‘abang sulung’ ni sebab ekonomi dia setakat itu saja boleh pergi.
“Walaupun begitu kita berusaha jugalah untuk buka kawasan industri seperti di Kulim, di Bukit Kayu Hitam, di Sungai Petani…InsyaAllah dengan kombinasi sektor pertanian dan sektor industri serta perhatian dari negeri-negeri yang ‘memakan beras’ dari negeri ini, ia dapat membantu (kemajuan) negeri Kedah,” ujarnya.[mk]
Author Profile
Latest entries
- NationalAugust 25, 2021Fokus PRU15, Bukan Kerusi Pengerusi PH Atau Ketua Pembangkang
- NationalAugust 25, 2021Hadi Awang: Taliban dah Berubah, Jangan Percaya pada Media Jahat
- NationalAugust 25, 2021Menjelang Pengumuman Kabinet, Ulama Pas: Jangan Sesiapa Jadi ‘Abang Long’
- PolitikAugust 25, 2021Puad: Lantik Azmin Ali Sebagai TPM Umpama Bunuh Diri