Mustapa: Tanda Pemulihan Ekonomi Dijangka Boleh Dilihat Pada Suku Keempat | Malaysia News

Mustapa: Tanda Pemulihan Ekonomi Dijangka Boleh Dilihat pada Suku Keempat

Mustapa: Tanda Pemulihan Ekonomi Dijangka Boleh Dilihat pada Suku Keempat

Putrajaya, MTN – Tanda-tanda pemulihan ekonomi negara dijangka dapat dilihat pada suku keempat pada tahun ini walaupun ia sesuatu yang sukar diramalkan berikutan penularan wabak Covid-19 yang memberi kesan terhadap semua industri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ekonomi pada suku kedua dijangka mencatatkan pertumbuhan negatif dan ia akan diketahui dalam masa dua minggu lagi manakala Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku pertama adalah 0.7 peratus.

“(Pertumbuhan ekonomi) suku ketiga dan keempat boleh diperdebatkan dan sukar diramalkan, dinamik. Kami percaya terdapat beberapa pemulihan pada suku keempat,” katanya sambil menambah tahun depan akan terus menunjukkan pemulihan.

Beliau menyatakan demikian pada sesi soal jawab majlis Perjumpaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Bersama Ketua Pengarang Media malam tadi.

Menurut Mustapa, perbelanjaan merupakan salah satu petunjuk kepada pemulihan ekonomi dan rakyat negara ini masih belum melakukan perbelanjaan seperti sebelum ini.

“Kita (perbelanjaan) akan mengambil masa beberapa bulan lagi,” ujarnya.

Ditanya tentang cabaran yang beliau hadapi, Mustapa berkata, antaranya ialah kejatuhan harga minyak, kemerosotan harga getah dan pengurangan kebergantungan terhadap warga kerja asing.

Sebahai contoh, katanya, Felcra kini mempunyai 10,000 pekerja asing dan ia merupakan cabaran kepada agensi itu untuk mengurangkan kebergantungan kepada mereka.

Bagaimanapun, menurutnya, bukannya mudah untuk menggantikan pekerja asing dengan pekerja tempatan dan ia boleh dilihat di Pasar Borong Kuala Lumpur apabila ramai pekerja tempatan tidak dapat bertahan dengan suasana kerja yang, menyebabkan mereka tidak bertahan lama.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi (EAC), Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali berkata, ekonomi negara memerlukan rakyatnya berbelanja dan tahun 2020 merupakan tahun yang sukar.

“Kalau boleh kini berhenti meminta duduk di rumah, ia adalah masa untuk keluar rumah tetapi sentiasa amalkan SOP (prosedur operasi stabdard. (Ekonomi) Kita memerlukan orang ramai berbelanja,” jelasnya.

Bagaimanapun, beliau memberitahu, kini keadaan ekonomi lebih baik dan ini boleh dilihat apabila bilangan pengunjung pusat membeli belah mula meningkat.

Sebagai contoh, menurut Noor Azlan, bilangan pengunjung pusat membeli belah pernah jatuh sebanyak 87 peratus dan penurunan lebih baik dicatatkan ketika ini iaitu 27 peratus. [mg]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply