Najib Dakwa Tak Tahu RM42 Juta Milik SRC International

Najib Dakwa Tak Tahu RM42 Juta Milik SRC International
BEKAS perdana menteri Najib Razak hari ini mengaku membelanjakan RM42 juta yang masuk ke akaun banknya tetapi tidak tahu wang tersebut dari SRC International Sdn Bhd.
Najib juga menegaskan beliau menyangkakan wang itu sebahagian daripada dana tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dimasukkan ke akaunnya di AmBank.
Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk memanggil pakar tulisan tangan dari Australia bagi memeriksa ketulenan tandatangannya pada 13 dokumen SRC International Sdn Bhd.
Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang membuat keputusan itu, memerintahkan pihak pembelaan mengatur pemeriksaan dokumen oleh pakar itu pada minggu hadapan dalam tempoh masa tidak melebihi dua hari supaya tidak mengganggu perbicaraan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC dihadapi Najib.
Hakim turut memerintahkan lokasi pemeriksaan diadakan dalam premis mahkamah yang akan ditentukan kemudian oleh Timbalan Pendaftar dengan dihadiri wakil pendakwaan dan pembelaan serta mahkamah.
Mohd Nazlan selanjutnya membenarkan pihak pendakwaan untuk memanggil saksinya bagi menangkis keterangan saksi pakar itu mengikut Seksyen 425 Kanun Acara Jenayah membabitkan bukti pakar jika ia (pendakwaan) berhasrat berbuat demikian.
Mohd Nazlan dalam penghakimannya berkata, mengikut undang-undang, seseorang tertuduh berhak untuk mendapatkan dan mengemukakan bukti relevan dalam pembelaannya.
Beliau berkata, walaupun permohonan itu dibuat selepas ia difikirkan kemudian oleh tertuduh, ia bukan alasan yang sah untuk menghalang Najib daripada mengemukakan bukti berkenaan di mahkamah untuk membela diri.
Beliau berkata, pemberatan pembuktian yang akan diberikan kepada keterangan pakar itu jika ia dikemukakan di mahkamah, termasuk sama ada pembelaan tertuduh akan terjejas disebabkan faktor ‘permohonan yang difikirkan kemudian’, hanya akan ditentukan oleh mahkamah di akhir kes pembelaan.
“Ini bagi memastikan bukti terbaik berhubung ketulenan dokumen yang dipertikaikan itu dibawa ke mahkamah, ia adalah tugas mahkamah untuk memastikan integriti proses perbicaraan dan hak perlembagaan tertuduh sentiasa terbela.
“Saya sehubungan itu membenarkan permohonan ini untuk memeriksa dokumen yang dipertikaikan,” katanya.
Najib membuat permohonan untuk memanggil pakar tulisan tangan Australia, Steven Strach selepas mempertikaikan tandatangan beliau pada dokumen SRC membabitkan pinjaman RM4 bilion oleh SRC daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP).
Najib dalam keterangan di Mahkamah Tinggi sebelum ini berkata beliau tidak pasti sama ada ia adalah tandatangan miliknya pada dokumen itu, malah beliau juga tidak pernah ditunjukkan dengan salinan asal.
Author Profile

Latest entries
KesMarch 6, 20251MDB – Mahkamah sekat akses akaun bank luar negara
SukanMarch 5, 2025Reijnders Pemain TimNas Indonesia kekal di AC Milan hingga 2030
IT & Social MediaMarch 4, 2025Aplikasi CIMB Clicks akan ditamatkan sepenuhnya pada 12 April 2025
TokohFebruary 26, 2025Mahathir dan Jokowi bertemu di Solo, bincang hal Malaysia-Indonesia