Tuduhan Pecah Amanah, Bekas Timbalan Pengarah SKMM Sabah Dihadapkan ke Mahkamah
Tuduhan Pecah Amanah, Bekas Timbalan Pengarah SKMM Sabah Dihadapkan ke Mahkamah
Kota Kinabalu, MTN – Bekas Timbalan Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Sabah dihadapkan ke Mahkamah Khas Rasuah, di sini hari ini atas enam pertuduhan pecah amanah berjumlah RM17,930 pada 2015.
Tertuduh, seorang wanita berusia 41 tahun mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.
Bagi kesemua pertuduhan itu, tertuduh didakwa melakukan pecah amanah berjumlah RM17,930 membabitkan bayaran Memorandum Permohonan Peruntukan Bagi Memudah dan Menganjur Program Klik Dengan Bijak dengan enam buah sekolah di Sabah, antara 15 Januari 2015 hingga 27 Feb 2015.
Kesemua pertuduhan berkenaan dilakukan di Tingkat 10, Menara MAA, SKMM di mana tertuduh didakwa menyalahgunakan kuasa sebagai Timbalan Pengarah SKMM.
Kesemua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga lima tahun dan sebatan, dan juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Tertuduh turut mengaku tidak bersalah terhadap enam pertuduhan alternatif melakukan pecah amanah di tempat dan tarikh yang sama mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Raya SPRM Michael Joimin.
Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam Mohd Fareez Mohammad Salleh dalam rayuannya memohon jumlah jaminan sebanyak RM4,000 memandangkan tertuduh telah kehilangan kerja sejak 2017 dan mempunyai tiga anak yang masih kecil, selain menjadi tulang belakang ibu bapanya.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM10,000 untuk kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin, selain tertuduh perlu melapor diri kepada SPRM sekali dalam dua bulan dan menyerahkan pasport untuk simpanan mahkamah.
Mahkamah menetapkan 28 Feb ini untuk sebutan semula kes.[bernama]
Author Profile
Latest entries
- CoronaVirus_Covid-19August 13, 2021Kerajaan Stabil Perlu Ditubuhkan Tangani Masalah Ekonomi Akibat Covid-19
- CoronaVirus_Covid-19August 13, 2021Malaysia Parah, DSAI: Mana Jaminan Kerajaan Bahawa Keadaan Bertambah Baik
- NationalAugust 5, 2021Mahiaddin Kelirukan Agong, Penderhakaan Tertinggi yang Tidak Patut Dimaafkan
- NationalJuly 26, 2021Kadir Jasin: Mahiaddin Sepatutnya Meletak Jawatan