Najib: Tubuh PAN Sebab Pemimpinnya Kalah Bertanding Dalam PAS | Malaysia News
Najib Razak

Najib: Tubuh PAN Sebab Pemimpinnya Kalah Bertanding dalam PAS

Kuala Lumpur, MTN – Parti Amanah Negara (PAN) ditubuhkan selepas beberapa pemimpinnya yang bertanding merebut jawatan tertinggi dalam Pas kalah teruk pada muktamar tahunan parti itu tahun 2015.

Datuk Seri Najib Razak ketika menjelaskan perkara itu berkata, berikutan kekalahan itu, mereka yang diketuai Mohamad Sabu keluar Pas dan menubuhkan parti yang dinamakan Amanah atau PAN.

Oleh itu, kata beliau, dakwaan Pengarah Komunikasi PAN, Khalid Samad bahawa mereka menubuhkan parti baharu itu disebabkan tidak bersetuju dengan hasrat kepimpinan Pas hendak bersama UMNO, tidak benar sama sekali.

“(Dakwaan Khalid) ini tidak betul. PAN ditubuhkan selepas Khalid dan geng-geng mereka kalah teruk dalam pemilihan parti Pas tahun 2015. Mereka kalah teruk kerana ramai ahli Pas tidak puas hati puak PAN ini khianati parti mereka dalam kemelut Langkah Kajang pada tahun 2014.

“Umum tahu, Langkah Kajang adalah untuk memfitnah dan menyingkir Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor,” katanya menerusi posting Facebook beliau hari ini.

Bekas Presiden UMNO itu menjawab ciapan Khalid dalam Twitternya yang mendakwa PAN ditubuhkan kerana Pas hendak mengkhianati Pakatan Rakyat (PR) pada tahun 2013.

“Pas sahaja cari gaduh dengan PKR awalnya dan kemudiannya DAP. Sahaja nak adakan alasan untuk keluar PR kerana nak sangat bersama UMNO dan Najib. Kami keluar Pas 2015. Dulu nafi gilakan UMNO. Laa ni jelas,” ciap Khalid.

Menurut Najib, selain Khalid dan Mat Sabu kalah, turut tewas ialah Datuk Mahfuz Ormar, Datuk Husam Musa, Salahuddin Ayub, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusuf Rawa, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Mohamed Hanipa Maidin dan Dr. Siti Mariah Mahmud.

Geng itu kata beliau, hanya menubuhkan PAN selepas mereka semua kalah dan gagal mendapat jawatan dalam parti Pas.

“Kalau geng mereka menang tahun 2015 itu, adakah mereka akan tinggalkan parti (Pas) untuk menubuh parti baru (PAN)? Macam ini pun Lid (Khalid) masih nak menipu rakyat, sedangkan ini semua adalah sejarah yang tidak dapat dinafikan.

“Google (makkumat) sikit sahaja dah tahu siapa menipu. Orang PH masih fikir rakyat terlalu mudah untuk ditipu,” katanya.

Facebook Comments