Oh, Kata Najib Razak Lepas 'Perlekeh' Pusat Kuarantin Kerajaan Sabah | Malaysia News

Oh, kata Najib Razak lepas ‘Perlekeh’ Pusat Kuarantin Kerajaan Sabah

Bekas perdana menteri Najib Razak nampaknya seperti ‘tersilap’ kali ini selepas membidas kerajaan Sabah mengenai kualiti kemudahan pusat kuarantin di negeri itu.

Pada jam 2.40 petang tadi, Najib berkongsi klip video di laman Facebooknya yang dikatakan memaparkan seorang lelaki yang ‘memperlekeh’ keadaan usang kemudahan pusat kuarantin di Sabah.

“Ini keadaan pusat kuarantin yang disediakan kerajaan di Sabah,” tulis Najib ringkas.

Kira-kira sejam kemudian, Najib menyusul dengan berkongsi berita Malaysiakini yang memetik Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Frankie Poon mengakui kemudahan asas dan tahap kebersihan di beberapa pusat kuarantin di negeri itu tidak mencapai piawai.

“Oh,” kata Najib memberikan maklum balasnya terhadap laporan itu.

Aset Persekutuan

MP Kota Kinabalu yang tidak berpuas hati dengan hantaran bekas perdana menteri di media sosial itu, kemudiannya mengeluarkan kenyataan petang tadi mendakwa Najib telah memfitnah kerajaan negeri.

“Memang ianya disediakan kerajaan, tetapi ianya disediakan kerajaan persekutuan Malaysia, bukan kerajaan Sabah!

“Saya telah mendapat pengesahan daripada Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Frankie Poon Ming Fung bahawa pusat kuarantin yang ditunjukkan oleh Najib Razak ini merupakan aset kerajaan persekutuan, bukan kerajaan negeri.

“Selain itu, pusat kuarantin tersebut juga disahkan boleh pakai oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah yang merupakan satu agensi kerajaan persekutuan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya.

Oleh yang demikian, Chan (gambar) berkata kerajaan negeri tidak bertanggungjawab terhadap keadaan berkenaan, terutamanya kerana kerajaan persekutuan yang mengarahkan sesiapa yang pulang dari luar negara mesti dikuarantin di kemudahan yang dikendalikan kerajaan selama 14 hari.

Katanya, Najib cuma tertarik dengan publisiti murahan dengan mempolitikkan perkara itu.

“Saya sangat kecewa dengan ahli politik dari kerajaan PN yang masih berkeras ingin bermain politik dalam keadaan yang meruncing kini.

“Kerajaan Persekutuan yang jauh lebih kaya daripada kerajaan negeri Sabah seharusnya lebih membantu rakyat Sabah dan bukannya setakat memainkan isu-isu untuk kepentingan politik,” katanya lagi.

Facebook Comments