Pakar Sejarah: Dr Mahathir Patut Rasa Malu | Malaysia News

Pakar sejarah: Dr Mahathir Patut Rasa Malu

Pakar sejarah: Dr Mahathir Patut Rasa Malu

Kuala Lumpur, MTN – Tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad membuat usul tidak percaya kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dewan Rakyat adalah tindakan memalukan sebagai seorang pemimpin tersohor yang pernah mengemudi negara sebanyak dua kali.

Apatah lagi, pelantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kelapan dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong selepas melaksanakan proses secara telus dan cukup teliti mengikut budi bicara dan mematuhi Perlembagaan negara akibat daripada tindakan Dr Mahathir sendiri.

Rakyat yang memerhati tindak-tanduk Dr Mahathir tidak akan pernah lupa bahawa beliau yang melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri selepas timbul isu penyerahan kuasa dalam Pakatan Harapan (PH).

Kemudian, beliau juga yang bertindak keluar daripada gabungan parti itu selepas 22 bulan berkuasa, selain turut melepaskan jawatan dalam partinya sendiri.

Pakar Sejarah, Prof. Datuk Dr Ramlah Adam berkata, rakyat masih mengingati rentetan peristiwa itu kerana adalah sebahagian daripada sejarah negara.

Lantaran itu, tindakan yang dibuat oleh Dr Mahathir untuk kembali berkuasa langsung tidak munasabah dan paling dikesalkan ia dilakukan ketika seluruh rakyat Malaysia berdepan dengan cabaran sosial dan ekonomi yang getir susulan penularan wabak Covid-19.

“Semua rakyat terpaksa berkurung selama hampir dua bulan akibat Covid-19, pekerja tidak boleh bekerja, syarikat tidak boleh beroperasi, kedudukan ekonomi terjejas, jumlah pengangguran meningkat.

”Malah, Perintah Kawalan Pergerakan pun belum diangkat balik tetapi Dr Mahathir masih boleh lagi berfikir untuk mendapatkan kuasa politiknya.

“Nyata sekali tindak-tanduk beliau tidak seiring dengan kenyataannya yang mendakwa meletakkan kepentingan rakyat dan negara daripada segala-galanya. Sebagai seorang rakyat biasa, saya cukup sedih dan kesal,” kata Ramlah kepada MalaysiaGazette.

Menurut beliau, sebagai individu yang pernah dua kali diberi peluang berkuasa dan dikenali sebagai pemimpin, Dr Mahathir tidak sepatutnya meletakkan kepentingan diri mengatasi kepentingan rakyat dan negara kerana tindakannya itu boleh menganggu-gugat kestabilan.

Ramlah menambah, apa yang cuba ditonjolkan Dr Mahathir ketika ini tidak menunjukkan beliau sayang kepada Malaysia.

Sebaliknya, beliau telah menunjukkan sikap rakus dan ego untuk menggunakan politik dalam memanipulasi kedudukannya dan parti yang dipimpin.

Oleh sebab itu, Dr Mahathir ketika keluar PH mengumumkan untuk mewujudkan kerajaan campuran dengan pelantikan individu-individu bukan mewakili parti politik.

“Beliau mahu menentukan corak dan hala tuju negara pada masa hadapan, walaupun cadangan itu adalah satu perkara luar biasa dan tidak munasabah.

“Tetapi Dr Mahathir mahu menunjukkan bagaimana angkuhnya beliau mahu merealisasikan cita-cita, untuk kembali berkuasa dengan menonjolkan diri sendiri, kuasa dan kelompok yang menyokongnya.

“Pada saya, ketika semua pihak sedang bertungkus-lumus untuk memerangi wabak Covid-19 siang dan malam, dan beliau masih mahu mengejar agenda politiknya, sepatutnya beliau berasa malu.

“Malu kerana rakyat memerhatikan tindak-tanduknya,” katanya.[mg]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply