Pameran SAS 2021 Dijangka Tarik 80 Peratus Pelabur | Malaysia News
February 23, 2024

Pameran SAS 2021 Dijangka Tarik 80 Peratus Pelabur

Pameran SAS 2021 Dijangka Tarik 80 Peratus Pelabur

Subang, MTN – Kerajaan Negeri Selangor mensasarkan sehingga 5,000 pengunjung menghadiri Pameran Penerbangan Selangor (SAS) 2021, di SkyPark Regional Aviation Centre, yang dijadualkan berlangsung dari 25 hingga 27 Nov.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, daripada jumlah itu, pihaknya menjangkakan sehingga 80 peratus daripadanya merupakan pembeli dan pemain industri penerbangan.

“Sudah tentu sasaran kami adalah pembeli (pengunjung), dari 5,000 orang itu,kita jangkakan 70 hingga 80 peratus dalam kalangan pembeli dan pihak industri.

“Walaupun ia terbuka kepada orang awam, namun sudah tentu kita akan tertarik kepada pemain industri yang akan melabur dan mereka yang terlibat dalam industri ini,” katanya pada sidang media di Hotel Saujana Kuala Lumpur.

Terdahulu beliau merasmikan Pameran Penerbangan Selangor (SAS) bersama Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Selangor, Datuk Teng Chang Khim.

Dalam perkembangan sama, Pameran Penerbangan Selangor yang julung kali diadakan selepas negara bergelut dengan pandemik Covid-19 tidak mensasarkan sebarang jumlah pelaburan kepada negeri itu.

“Kita tidak meletakkan sasaran (pelaburan) kerana pandemik. Pameran ini lebih kepada memulakan semula Pelan Pemulihan Negara dalam sektor Industri di Selangor dan negara ini.

“Industri penerbangan antara sektor yang terjejas teruk semasa pandemik Covid-19 dan kita mulakan di Selangor sebagai pemain utama industri aeroangkasa dan penerbangan di negara ini,” katanya.

Bagaimanapun katanya maklum balas yang diterima Kerajaan Negeri Selangor daripada rakan kongsi, penaja dan seluruh negara komited mengambil bahagian dalam pameran itu nanti.

“Kita ada lima pempamer dari Brazil, Switzerland, Perancis, America Syarikat dan Turki, penglibatan mereka sangat menggalakkan bagi pameran penerbangan yang pertama di Selangor,” katanya lagi.

 

[MG]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply