Pas jawab Anwar

KUALA LUMPUR 27 Feb. – Penyelesaian luar mahkamah melibatkan kes saman fitnah Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang terhadap pengasas dan editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown berhubung dakwaan penerimaan RM90 juta daripada UMNO tidak melibatkan sebarang bayaran mahupun kos kepada mana-mana pihak.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, perintah persetujuan yang direkodkan di hadapan Master Brown di Mahkamah Tinggi London pada 1 Februari lalu, menyatakan pihak yang menuntut tidak meneruskan tuntutannya, pihak defendan tidak meneruskan tuntutan balasnya dan tiada perintah mengenai kos-kos.

Sehubungan itu, kata beliau, berdasarkan perintah persetujuan itu, selain daripada kedua-dua pihak bersetuju tidak meneruskan tuntutan dan tuntutan balas masing-masing, mahkamah tidak membuat sebarang perintah mengenai kos kepada mana-mana pihak.

“Dengan kata lain pihak yang menuntut, Abdul Hadi tidak membayar apa-apa bayaran atau pun kos kepada pihak defendan untuk penyelesaian kes ini di luar Mahkamah.

“Perlu dijelaskan juga bahawa Pas lagilah tidak membayar apa-apa bayaran di mana-mana peringkat kes ini kerana Pas bukanlah satu pihak dalam tindakan ini,” katanya dalam kenyataan lewat malam semalam.

Terdahulu, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Pas menjelaskan kepada rakyat sama ada parti itu telah membayar lebih RM1 juta kepada Rewcastle-Brown bagi menyelesaikan kes saman fitnah di luar mahkamah.

Anwar berkata, penjelasan itu perlu dilakukan memandangkan berlaku banyak kekeliruan dalam kalangan rakyat berhubung kes saman tersebut yang difailkan oleh Abdul Hadi.

Dalam pada itu, Takiyuddin berkata, Pas menyifatkan kenyataan Presiden PKR itu sebagai langkah terdesak bagi mengalihkan pandangan rakyat daripada isu ‘krisis keyakinan’ parti dalam Pakatan Harapan (PH) terhadap Pengerusinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang juga Perdana Menteri.

 – UTUSAN ONLINE

Spread the love
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Post Author: atukdalang

Leave a Reply