Pemimpin PN Berkumpul, Ulang Sokongan pada Muhyiddin
Pemimpin PN Berkumpul, Ulang Sokongan pada Muhyiddin
Kuala Lumpur, MTN – Mesyuarat pemimpin tertinggi Perikatan Nasional hari ini mengulangi sokongan mereka terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Mereka juga memutuskan untuk memperkuat kerjasama tetapi tidak disebutkan mengenai usaha memformalkan gabungan itu.
Muhyiddin, yang juga presiden Bersatu, berkata para pemimpin bertemu di Putrajaya petang tadi.
“Semua pimpinan parti menzahirkan sokongan kepada perdana menteri dan bermuafakat untuk memperkukuhkan persefahaman serta kerjasama demi kestabilan politik, kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Selain Muhyiddin, pemimpin yang hadir adalah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, Presiden PAS Abdul Hadi Awang, Presiden MCA Wee Ka Siong, Presiden MIC S Vigneswaran, Presiden PBB Abang Johari Openg, Presiden SUPP Sim Kui Hian, Presiden PDP Tiong King Sing, Presiden PRS James Masing, presiden PBRS Joseph Kurup dan Presiden STAR Jeffrey Kittingan.
Turut hadir ialah Menteri Kanan Mohamed Azmin Ali dan Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainuddin.
PBB, SUPP, PDP dan PRS adalah sebahagian daripada gabungan GPS yang berpusat di Sarawak sementara Umno, MCA, MIC dan PBRS adalah sebahagian daripada BN.
Umno juga mempunyai pakatan dengan PAS di bawah panji Muafakat Nasional.
Sebelum pertemuan hari ini, Muafakat Nasional dan Bersatu juga mengadakan pertemuan berasingan malam tadi, antara lain bagi membincangkan usaha mendaftar PN secara rasmi.
Kerajaan PN mengambil alih kerajaan selepas kerajaan PH tumbang pada akhir Februari.
Kerajaan PH, yang mengambil alih kuasa persekutuan melalui pilihan raya umum pada 2018, tumbang selepas Muhyiddin menarik partinya keluar dari gabungan itu.
Muhyiddin dilantik sebagai perdana menteri baru pada 1 Mac setelah menyusun gabungan baru yang terdiri daripada Bersatu, bekas wakil rakyat PKR, BN, PAS, GPS, PBS dan Star.[mk]
Author Profile
Latest entries
- NationalAugust 25, 2021Fokus PRU15, Bukan Kerusi Pengerusi PH Atau Ketua Pembangkang
- NationalAugust 25, 2021Hadi Awang: Taliban dah Berubah, Jangan Percaya pada Media Jahat
- NationalAugust 25, 2021Menjelang Pengumuman Kabinet, Ulama Pas: Jangan Sesiapa Jadi ‘Abang Long’
- PolitikAugust 25, 2021Puad: Lantik Azmin Ali Sebagai TPM Umpama Bunuh Diri