‘Tiada Esok Bagimu’ - PAS Minta Anwar Tinggalkan PH | Malaysia News

‘Tiada Esok Bagimu’ – PAS Minta Anwar Tinggalkan PH

‘Tiada Esok Bagimu’ – PAS Minta Anwar Tinggalkan PH

Kuala Lumpur, MTN – Pimpinan PAS menasihatkan Presiden PKR, Anwar Ibrahim supaya keluar meninggalkan Pakatan Harapan (PH) dan menyokong Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin sehingga habis penggal pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Naib Presiden PAS, Mohd Amar Nik Abdullah, berkata ia berikutan PH sudah tidak ada masa depan yang cerah, malah tidak sepakat untuk mencalonkan Anwar sebagai calon perdana menteri.

“Sekali lagi saya tekankan, PH sudah tidak ada masa depan, nak selesaikan isu calon perdana Menteri pun gagal sehingga wujud dua hingga tiga nama, apatah lagi mahu membentuk kerajaan.

“Jadi saya berharap Anwar mendengar saranan saya supaya tinggalkan PH dan beri sokongan moral kepada Muhyiddin, memandangkan beliau sudah tidak diterima dalam PH.

“Jika Anwar masih bersama PH dan mahu menjadi perdana menteri, memang tinggal harapanlah, bak kata pelakon Jins Shamsuddin, tiada esok bagimu,” katanya kepada media ketika ditemui selepas mesyuarat exco kerajaan negeri di kediaman rasmi menteri besar Kelantan, JKR10, Kota Bharu, hari ini.

Beliau yang juga timbalan menteri besar Kelantan berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu yang melanda parti-parti dalam PH yang sehingga kini belum mencapai kata sepakat dalam isu pencalonan perdana menteri.

Mohd Amar berkata, keberadaan anggota Parlimen Port Dickson itu dilihat tidak diperlukan lagi oleh PH dan terbukti apabila bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mencadangkan nama Presiden Warisan, Mohd Shafei Apdal sebagai calon perdana menteri pilihannya.

Menurutnya, ketidakstabilan politik akan memaksa kerajaan Perikatan Nasional (PN) ke arah pembubaran parlimen.

“Kalau beliau boleh dengar nasihat saya, adalah tinggalkan PH, bagi sokongan kepada Muhyiddin. Itu akan tunjukkan sifat negarawannya kepada rakyat untuk mematikan pergolakan politik dan saya harap beliau dengar nasihat saya.

“Cadangan Mahathir calonkan Shafei itu secara politiknya untuk beritahu secara halus bahawa beliau tidak boleh terima Anwar. Kalau PH putuskan calon perdana menteri sekalipun belum tentu juga mereka menang.

“Dalam keadaan negara berdepan masalah ekonomi dan Covid-19 dan rakyat terbeban, kita duk gila nak menjadi perdana menteri,” katanya.[mk]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply